Rasmus Hojlund meledak dua gol ketika membantu Manchester United menumpaskan Bodo/Glimt dalam aksi Liga Europa di Old Trafford, semalam.
MANCHESTER: Ruben Amorim mengakui beliau masih dalam tempoh ‘belajar’ untuk mengenali setiap pemain Manchester United selepas berjaya meraih kemenangan pertamanya di Old Trafford.
Dua gol menerusi Rasmus Hojlund dan satu daripada Alejandro Garnacho membolehkan United mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan Liga Europa menentang Bodo/Glimt, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, pengendali baharu United itu menyifatkan perlawanan itu sebagai ‘cabaran sebenar’ dan melihat anak buahnya bekerja keras untuk mencatat kemenangan.
“Saya melihat apa yang semua orang lihat, detik-detik yang bagus dan sukar, sedikit kekeliruan di penghujung perlawanan ketika cuba mengekalkan keputusan tetapi barisan pemain melakukan tugas yang hebat.
“Mereka berlari dan memberi tekanan, mereka cuba melaksanakan perkara yang kami usahakan dalam tiga hari ini, dan kami menang,” kata Amorim.
Bekas pengendali Sporting Lisbon itu yang sebelum ini menyatakan bahawa pendekatannya memerlukan masa untuk diterapkan, melakukan enam perubahan daripada pasukan yang terikat 1-1 dengan Ipswich dalam perlawanan pertama di bawah bimbingannya, Ahad lalu.
Dalam masa sama, Amorim turut tersentuh dengan sambutan yang diberikan oleh peminat di Old Trafford.
“Perkara pertama adalah separuh daripada stadium ini tidak mengenali saya, tidak betul-betul mengenali saya.
“Saya datang dari Portugal. Saya belum lakukan apa-apa yang istimewa, jadi cara mereka membuat saya rasa seperti di rumah sendiri, ia amat istimewa,” jelasnya.
Keputusan itu menyaksikan, United kini menghuni tangga ke-12 carta, dengan dua kemenangan dan tiga seri dalam lima perlawanan pertama format baharu peringkat liga.