Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang dan pihak lain diingatkan tidak menjadi jaguh dengan memperjuangkan golongan T15 atau ‘maha kaya’ hingga mengetepikan hak 85 peratus rakyat lain.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi petroleum terpaksa dikenakan kerana kerajaan menanggung sebanyak RM20 bilion.
Menurut beliau, kerajaan akan terus mempertahankan bantuan atau subsidi kepada kumpulan rakyat yang benar-benar layak.
Namun, katanya, tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi kepada warga asing dan golongan teratas termasuk ‘maha kaya’
“(Apa) yang penting di sini (untuk) kita ketahui adalah (penyasaran) subsidi (petrol) tidak membebankan 85 peratus rakyat. Sepatutnya kita jangan jadi jaguh (untuk) T15 seperti yang banyak disuarakan (pemimpin) pembangkang.
“Sekiranya dikatakan jangan bebankan dalam kalangan T15 yang berpendapatan rendah, saya boleh terima. Kalau sekitar RM13,000 mungkin tidak termasuk dalam golongan berpendapatan yang lumayan tetapi apabila kita pertahan T15, kita pertahankan semua. Mereka ada dapat (pendapatan) RM100,000 sebulan dan RM1 juta sebulan.
“Jadi mengapa tidak ada pendirian untuk menyatakan wajar untuk kita kenakan bayaran semasa mengikut pasaran kepada golongan ‘maha kaya’’ dan teratas?” katanya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang memintanya untuk menyatakan apakah definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petroleum RON95.
Poay Tiong turut meminta Perdana Menteri memperjelaskan mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, harga petrol tidak boleh diturunkan secara mendadak tetapi kerajaan cuba menurunkan ia seperti diesel yang mengikut harga pasaran.
“Kadang-kadang dia (pemimpin pembangkang) lepaskan kenyataan bahawa saya selalu bandingkan (harga petrol) dengan Arab Saudi, negara itu sekarang RM2.60 (sedangkan) semasa kita usulkan penurunan harga minyak, harga petrol di sana adalah 50 sen.
“Jika kita boleh turunkan harga petrol secara mendadak, tidak seperti diesel (maka) projek-projek rakyat terpaksa dikurangkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, negara mempunyai sistem percukaian yang progresif.
“Kalau dia ada RM2 juta saham dengan dividen RM100,000 bayarlah dua peratus, sekitar RM700 ke RM800 sahaja untuk setahun. Takkan tidak boleh bayar? Sedangkan mempunyai saham RM2 juta, itu baru saham, mustahil hanya ada keupayaan beli saham.
“Sebab itu dalam pertimbangan kita ialah supaya mengenakan sedikit bayaran kepada orang yang mempunyai keupayaan,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan cukai dividen itu tidak akan terkena kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Hanya terkena apabila dia ada pegangan saham yang lebih kurang RM2 juta, barulah mula bayar,” jelasnya.