Dr Joachim (tiga dari kiri), Hajiji (tengah) bersama Pengasas dan Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kıtingan
menyanyikan lagi PBS.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) bertekad untuk mempertahankan tujuh kerusi yang telah dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, dengan kekuatan dan pengalaman yang dimiliki, PBS juga berhasrat untuk mendapatkan kerusi-kerusi tambahan yang baharu khususnya di kawasan atau kerusi tradisi PBS yang masih lagi mempunyai kekuatan jentera dan penyokong yang kuat.
Katanya, PBS yakin bahawa kekuatan yang ada merupakan asas kepada kemenangan dalam PRN itu nanti.
“Dalam konteks ini, perundingan awal yang teliti perlu diadakan, khususnya dalam soal pembahagian kerusi antara komponen Gabungan Rakyat Sabah.
“Perancangan yang rapi ini akan memastikan tiada pertindihan atau perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada parti lawan. Lebih penting lagi, GRS harus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pejuang hak-hak rakyat Sabah, dengan bertanding sebanyak mungkin kerusi dan mengelakkan dominasi parti-parti luar yang mungkin tidak memahami aspirasi sebenar rakyat negeri ini,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, hari ini.
Dr. Joachim berkata, salah satu keutamaan dalam persiapan PRN ini adalah untuk memastikan kerjasama antara parti-parti dalam GRS terus erat dan mantap.
Kesepakatan dalaman ini amat penting bagi menghadapi cabaran luar, tambahnya.
“PBS, percaya sekiranya GRS berjaya mengekalkan perpaduan dan mengelakkan sebarang konflik dalaman, tidak mustahil gabungan ini dapat meraih majoriti kerusi yang dipertandingkan.
“Ini bukan sahaja akan memastikan kestabilan politik, malah memberi peluang terbaik untuk memperbetulkan segala kelemahan yang telah melanda politik Sabah selama ini.
“PBS juga menuntut kawasan atau kerusi yang kami tahu kami ada peluang, namun yang lebih penting adalah perundingan bersama rakan rakan dalam GRS untuk memastian kemenangan mutlak bagi GRS.
“PBS, sebagai salah satu tonggak utama GRS, berpegang teguh kepada prinsip memperjuangkan hak rakyat Sabah dan menjaga kepentingan negeri ini. PRN ke-17 akan menjadi medan yang menentukan masa depan Sabah, dan dengan persiapan yang teliti serta strategi yang ampuh, kita berada di landasan yang betul untuk mengembalikan kestabilan dan kemajuan yang diimpikan oleh semua rakyat Sabah,” ujarnya.
Timbalan Ketua Menteri II itu berkata, Sabah telah melalui pelbagai perubahan dan cabaran, tetapi PBS tetap berdiri teguh, mempertahankan prinsip – memperjuangkan hak rakyat Sabah tanpa kompromi.
“Setiap cabaran yang kita hadapi, sama ada budaya lompat parti, tekanan politik, atau percubaan untuk melemahkan kesatuan kita, semuanya telah kita atasi dengan semangat juang yang tinggi.
“Namun, kita tidak boleh berpuas hati. Perjuangan ini belum selesai. Kita harus terus bangkit, bekerja lebih keras, dan melindungi masa depan Sabah.
“Kita harus memastikan bahawa hak rakyat kita tidak akan dipinggirkan, dan suara kita akan terus didengar di peringkat nasional,” kata Dr. Joachim.