Elon Musk membuat keputusan memindahkan pejabat SpaceX dari California ke Texas hanya kerana undang-undang berkaitan LGBT.
SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan pemilik aplikasi X, Elon Musk mengumumkan keputusan untuk memindahkan ibu pejabat kedua-dua syarikat itu dari California ke Texas.
Menurut Utusan Malaysia, Musk berkata, keputusan itu dibuat selepas Gabenor California, Gavin Newsom menandatangani undang-undang baharu melarang peraturan sekolah yang memerlukan kakitangan mendedahkan perubahan identiti jantina kanak-kanak kepada ibu bapa mereka.
Undang-undang baharu itu menjadikan California negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) yang menghalang semua sekolah daripada mewajibkan kakitangan memberitahu keluarga tentang identiti jantina atau orientasi seksual pelajar tanpa kebenaran kanak-kanak itu.
“Ini adalah untuk kali terakhir. Disebabkan undang-undang ini dan banyak lagi sebelumnya, memberi kesan terhadap kedua-dua keluarga dan syarikat, SpaceX kini akan memindahkan ibu pejabatnya dari Hawthorne, California ke Starbase, Texas,” katanya di X.
Sejurus membuat pengumuman SpaceX, Musk menulis satu lagi kenyataan yang mengumumkan X juga akan dipindahkan dari Golden State, San Francisco ke Austin, Texas.
Musk, yang mempunyai anak transgender, sebelum ini memberitahu Newsom bahawa undang-undang seperti itu akan memaksa banyak keluarga dan syarikat meninggalkan California bagi melindungi anak-anak mereka.
Musk cenderung memilih Texas, yang tidak mempunyai cukai korporat atau pendapatan negeri dan terkenal dengan politik konservatifnya.
Sebelum ini, Musk memindahkan ibu pejabat Tesla dari Palo Alto di Silicon Valley ke Austin, Texas, tetapi masih mengekalkan ibu pejabat kejuruteraan di California.


































