Mohamed Khaled Nordin-Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal bermula pada Jun atau Julai 2025.
Buat permulaan ia melibatkan fasa pra-PLKN di peringkat sekolah membabitkan pelajar tingkatan empat.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat sebagai persiapan menjalani latihan khidmat negara selepas mencapai umur 17 tahun.
Katanya, fasa PLKN asas melibatkan peserta berumur 17 tahun dan ke atas di kem-kem askar wataniah selama 45 hari dijangka bermula April 2026.
Menurutnya, bagi fasa asas di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026/2027.
“Bagaimanapun projek rintis akan bermula pada Jun dan Julai 2025 melibatkan dua kem wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (Bebas-Jeli) yang mahu mengetahui status terkini bagi pelaksanaan semula PLKN.
Mengulas lanjut, kata Mohamed Khaled, pelaksanaan PLKN asas remaja berusia 17 tahun dan ke atas bakal dipilih menjalani latihan asas di 13 kem askar wataniah, 20 universiti awam (UA) dan beberapa politeknik.
Jelasnya, fasa latihan asas itu merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus.
“Latihan tersebut bersifat intensif, lapangan serta praktikal. Modul asas kenegaraan dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mengandungi modul kenegaraan elemen jati diri, modul kenegaraan elemen cinta negara dan modul kenegaraan elemen perpaduan.
“Modul asas ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.
“Pelatih akan dilatih untuk mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketetapan masa tersusun dan mandiri,” katanya.
Pada 9 Oktober tahun lalu, bekas Menteri Pertahanan kini Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kerajaan bersetuju meneruskan PLKN 3.0 dengan kaedah latihan berbeza menyaksikan pelatih menjalani latihan di kem tentera.
PLKN sebelum ini dimansuh semasa pentadbiran kerajaan PH pada 2018 menyaksikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan Menteri Belia dan Sukan ketika itu bertanggungjawab terhadap pemansuhannya.
Selain PLKN, turut dimansuh adalah Biro Tata Negara (BTN) dengan apa yang dianggapnya sebagai wujud unsur doktrin politik.
PLKN 1.0 diasaskan sejak 2004 dan ditambah baik menjadi PLKN 2.0 pada 2016. PLKN 2.0 dilaksana dalam dua fasa melibatkan Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) menggunakan lapan modul di 81 kem di seluruh negara dan latihan kemahiran tiga hingga 24 bulan di 400 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Syed Saddiq pada Mei tahun lalu dilaporkan tidak menyesal memansuhkan PLKN, sebaliknya menegaskan tiada keperluan menubuhkannya semula yang dilihat sebagai satu bentuk pembaziran wang dan sebagai alat politik.


































