Armizan Mohd. Ali
PAPAR: Penolakan usul persendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini adalah keputusan Speaker dan bukan mencerminkan penolakan terhadap tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, persepsi yang cuba mengaitkan penolakan usul tersebut dengan pendirian Kerajaan Negeri adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.
“Penolakan usul persendirian ADUN Kapayan itu dibuat atas kuasa dan keputusan Speaker DUN. Ia bukan bermakna Dewan apatah lagi Kerajaan Negeri menolak perjuangan 40 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada satu majlis di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan ADUN Kapayan yang dilaporkan tidak berpuas hati apabila usul berkenaan ditolak.
Armizan menegaskan Kerajaan Negeri kekal konsisten dalam menuntut hak 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada di dalam mahupun di luar DUN, termasuk melalui tindakan mahkamah.
Menurutnya, pendirian itu boleh dirujuk melalui afidavit balasan dan penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dalam kes melibatkan Sabah Law Society (SLS) dan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri tegas bahawa hak 40 peratus adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan rundingan berkaitan perkara itu telah dibentangkan dalam sidang DUN terkini, termasuk oleh Menteri Kewangan Sabah.
Katanya, antara perkara yang disentuh ialah cadangan kadar baharu pemberian khas berdasarkan data pungutan cukai, dengan sasaran peningkatan daripada RM600 juta setahun ketika ini kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun sebagai permulaan.
“Sabah mahukan pelaksanaan itu dibuat segera, bukan ditangguhkan ke tahun hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan mendakwa usul yang dibawa ADUN Kapayan lebih bermotifkan politik, termasuk untuk membentuk persepsi bahawa parti tertentu adalah pejuang utama dalam isu berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu juga dilihat sebagai usaha menutup kesilapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu pada tahun 2019 berkaitan isu tuntutan berkenaan.
Beliau mendakwa antara kesilapan tersebut ialah pendirian ketika itu yang tidak bersetuju membawa tuntutan MA63 termasuk hak 40 peratus ke mahkamah.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri ketika itu (2019) juga didakwa telah bersetuju dengan semakan kadar pemberian khas sebanyak RM53.4 juta sahaja melalui surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019.
“Tindakan itu amat cuai dan membelakangkan kepentingan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan berkata, sekiranya semakan kadar baharu pemberian khas masih belum dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan menjelang sidang DUN akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN penyokong kerajaan untuk membawa usul berkaitan hak 40 peratus.
Katanya, langkah itu penting bukan sahaja untuk menegaskan pendirian semasa kerajaan negeri, tetapi juga bagi merekodkan secara rasmi dalam hansard DUN tindakan kerajaan terdahulu berhubung perkara tersebut.
“Ia termasuk membentangkan minit Mesyuarat Kabinet Negeri dan surat-menyurat antara kerajaan negeri ketika itu dengan Kerajaan Persekutuan yang membawa kepada persetujuan kadar RM53.4 juta,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu wajar direkodkan sebagai rujukan kepada rakyat dan generasi akan datang.
Dalam pada itu, Armizan turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor akan terus memperjuangkan kadar pemberian khas yang jauh lebih tinggi demi kepentingan Sabah.
“Kita memperjuangkan kadar berbilion ringgit, bukan seperti kesilapan lalu yang hanya bersetuju dengan RM53.4 juta,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian serius terhadap tuntutan Sabah.
Katanya, ini kerana kerajaan hari ini telah secara terbuka mengiktiraf hak 40 peratus Sabah seperti diperuntukkan dalam Perkara 112(C) dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menyatakan pendirian tersebut secara rasmi di Parlimen, termasuk pada 12 November 2025.
“Pendirian ini tidak pernah dibuat oleh pentadbiran terdahulu, malah sebelum ini pernah dinyatakan bahawa hak 40 peratus itu telah terhenti berkuat kuasa,” katanya.
































