RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Timbua sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penduduk terlibat.
Bantuan itu disalurkan susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan 11 premis perniagaan, melibatkan 54 mangsa daripada 11 keluarga.
Daripada jumlah itu, 37 adalah dewasa manakala 17 lagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.
Sejurus insiden berlaku, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Ranau telah menggerakkan inisiatif kutipan sumbangan yang berjaya mengumpul pelbagai barangan keperluan dalam tempoh singkat.
Antara bantuan yang disampaikan termasuk pakaian, perabot asas serta bekalan makanan dan minuman bagi meringankan beban mangsa.
Selain itu, masyarakat setempat turut tampil menghulurkan bantuan, termasuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan yang tinggi.
Penyampaian bantuan kepada mangsa diwakili oleh Pegawai Khas Masidi, Shahrin Mujin bersama Pegawai Khas Kebajikan ADUN N.37 Karanaan, Sujani Gipul.
Turut serta dalam usaha itu ialah Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat yang membantu menggerakkan sumbangan kepada mangsa.
Masidi yang juga ADUN Karanaan menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban serta membantu mereka bangkit semula.
Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan akan terus disalurkan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut tampil membantu mangsa.
Situasi itu sekali lagi memperlihatkan semangat solidariti dan keprihatinan tinggi dalam kalangan masyarakat Ranau.
Masidi turut menghargai usaha proaktif Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Ranau serta masyarakat setempat yang pantas bertindak menggerakkan bantuan.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja membantu mangsa, malah memperkukuh amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
































