RANAU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyampaikan bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap 12 Ketua Isi Rumah yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Timbua, di sini, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan ketika beliau mengadakan lawatan ke kawasan kejadian kebakaran tersebut kelmarin.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyumbang bakul makanan kepada 11 keluarga terjejas, melibatkan seramai 54 mangsa iaitu 37 orang dewasa dan 17 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Bantuan bakul makanan itu diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.36 Kundasang, diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sany dengan kerjasama Ketua Kampung Timbua, pemimpin setempat dan Pemuda PBS Kundasang yang turut berganding bahu memastikan bantuan sampai dengan segera dan teratur.
Menurut Dounis, antara barangan dapur yang disumbangkan termasuk beras, mihun, mi segera, tepung, susu tin, makanan tin, roti, minyak masak dan air bagi membantu keperluan harian mangsa terjejas.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam atas keprihatinan beliau,” katanya.
Katanya, tindakan pantas itu dilaksanakan atas keprihatinan Dr. Joachim yang menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
Dr. Joachim turut menghargai usaha pelbagai pihak termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang telah menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terlibat.
































