Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU: Pembayaran interim kepada Sabah hanyalah penyelesaian sementara sementara menunggu penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus hasil negeri itu yang kini masih dalam proses rundingan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah mencapai penyelesaian menyeluruh yang dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Pembayaran interim hanyalah penyelesaian sementara sehingga penyelesaian muktamad dibuat dengan persetujuan Kerajaan Negeri dan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dalam tempoh rundingan yang sedang berjalan, usaha untuk meningkatkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi menyokong keperluan pembangunan semasa Sabah.
“Sebarang usaha menaikkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Mustapha berkata, tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan satu bentuk ihsan atau geran.
Katanya, usaha melaksanakan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan berkenaan, sedang berjalan secara berterusan melalui pelbagai platform rasmi.
Beliau berkata, di peringkat Persekutuan, Kerajaan MADANI telah memperkukuh mekanisme pelaksanaan melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.
“Setakat ini, sebanyak 13 daripada 29 perkara telah berjaya diselesaikan, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melaksanakan MA63 secara berperingkat tetapi konsisten,” katanya.
Menurutnya, bagi isu 40 peratus hasil Sabah secara khusus, rundingan kini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan melibatkan Kerajaan Negeri Sabah.
Katanya, rundingan itu memberi tumpuan kepada pemuktamadan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya, penyelarasan dan pengesahan data hasil turut dilaksanakan melibatkan agensi utama seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam bagi tempoh semasa termasuk tahun-tahun terdahulu.
Beliau berkata, penelitian turut diberikan kepada isu “lost years”, iaitu tempoh bayaran yang belum diselesaikan sejak sekian lama dan memerlukan pendekatan yang adil serta dipersetujui bersama.
“Perbincangan juga melibatkan mekanisme pelaksanaan secara berfasa, bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan,” katanya.
Mustapha berkata, beberapa siri pertemuan dan mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah termasuk Menteri Kewangan Sabah dan pegawai kanan Perbendaharaan Malaysia bagi memperincikan hala tuju serta mempercepat proses pemuktamadan.
Katanya, pertukaran data antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga telah dilaksanakan, sekali gus memberi asas kefahaman lebih jelas terhadap angka dan kaedah pengiraan yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan turut meningkatkan ketelusan dan pemantauan pelaksanaan MA63 melalui pembangunan Dashboard Status Pelaksanaan MA63.
“Fasa 1 telah pun dilaksanakan bagi membolehkan pemantauan asas kemajuan setiap perkara, manakala Fasa 2 sedang dalam pembangunan untuk memperluas fungsi termasuk pemantauan lebih terperinci, integrasi data antara agensi serta akses maklumat yang lebih menyeluruh secara masa nyata,” katanya.
Mustapha menegaskan bahawa rundingan berhubung perkara itu tidak statik, sebaliknya terus bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta serta peruntukan Perlembagaan.
“Keutamaan kita adalah memastikan Sabah menerima haknya secara berkesan, bukan sekadar menjadi polemik politik semata-mata,” katanya.

































