Jamawi menerima cenderamata daripada Mohd. Nazri.
KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik pengiktirafan Kerajaan Negeri yang menjadikannya sebagai anak angkat kepada Kerajaan melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).
Pengerusinya, Datuk Mohd. Nazri Abdullah berkata, langkah yang diperkenalkan oleh Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar itu tepat pada masanya dalam memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negeri, selain meningkatkan daya tahan sektor pertanian berdepan kenaikan kos input.
Menurutnya, pelbagai inisiatif diumumkan Kerajaan Negeri bakal memberi manfaat kepada rakyat dan ahli peladang, termasuk pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur serta kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan tani muda.
Katanya, pendekatan menyeluruh melalui Inisiatif Kebun Dapur bukan sahaja menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri, malah berpotensi memperluas rantaian pengeluaran makanan di peringkat komuniti.
“Pada masa sama, usaha memperkukuh sektor akuakultur dan penternakan kecil akan membantu meningkatkan sumber protein tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Jamawi di Wisma Pertanian Sabah, di sini, kelmarin.
Mohd. Nazri turut menyifatkan kemudahan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 kepada golongan belia sebagai pemangkin penting untuk menarik lebih ramai generasi muda menceburi sektor agromakanan.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mampu melahirkan usahawan tani baharu yang berdaya saing dan inovatif dalam pengeluaran makanan.
“Dengan sokongan pembiayaan serta bimbingan teknikal berterusan, kita yakin lebih ramai belia akan tampil meneroka bidang pertanian moden yang berpotensi menjana pendapatan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Kerajaan mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di seluruh negeri bagi memudahkan pemasaran hasil, sekali gus membantu peladang memperoleh pulangan lebih stabil.
Menurutnya, pendekatan bersepadu merangkumi aspek pengeluaran, pembiayaan dan pemasaran akan memperkukuh keseluruhan ekosistem agromakanan Sabah.
“PPNS akan terus memainkan peranan menyokong pelaksanaan dasar kerajaan, termasuk membantu peladang dari segi latihan, teknologi serta akses pasaran.
“Dengan pengiktirafan ini, kami komited untuk bekerjasama rapat dengan kementerian bagi memastikan setiap inisiatif memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, gabungan usaha kerajaan dan agensi pelaksana diyakini mampu menjadikan sektor pertanian Sabah lebih moden, berdaya tahan serta menjamin bekalan makanan negeri dalam jangka panjang.

































