Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sering memastikan semua langkah berjaga-jaga dan mitigasi telah diambil untuk memastikan tiada kejadian banjir akan menjejaskan jajaran utama Lebuhraya Pan Borneo (LPB).
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, sebelum pembinaan bermula, perancangan dan reka bentuk jajaran ini telah diteliti dan telah mendapat kelulusan daripada agensi-agensi Kerajaan yang terlibat termasuklah kelulusan Laporan EIA daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD) serta simulasi banjir yang telah dibentangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS Sabah).
Katanya, semasa pembinaan, pihak kontraktor juga telah menjalankan penyelenggaraan rutin untuk memastikan longkang sementara dan longkang baharu dibina tidak berlodak atau penuh dengan sampah atau tumbuhan yang boleh menghalang aliran air.
“Pasukan Pan Borneo Sabah juga telah mengambil inisiatif untuk menambah baik reka bentuk asal saliran perparitan di dalam sempadan kerja Pan Borneo dari masa ke semasa sepanjang pembinaan projek ini. Antaranya adalah menambah baik sistem perparitan di sekitar kawasan Kolopis dan Kitobu, menyediakan pembetung tambahan serta menaik taraf aliran Sg. Kitobu.
“Berdasarkan semakan yang dibuat oleh pihak penyeliaan di tapak, faktor utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh satu-satunya outlet di Kg. Ketiau, Kg. Duvanson, Jalan Penampang-Tambunan, Kg. Kolopis dan Kg. Kitobu telah melimpah (overflow) dan menyebabkan aliran balik (backflow) ke longkang sedia ada.
“Selain daripada itu, aktiviti kerja tanah oleh pemilik tanah di luar sempadan kerja Pan Borneo telah menjejaskan aliran keluar air. Kerja-kerja tanah ini tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang betul.
“Pihak JKR Sabah berpendapat untuk memastikan masalah banjir tidak berlaku lagi pada masa hadapan, agensi berkuasa yang berkaitan perlu mengambil tindakan dalam menyelesaikan isu ini kerana pasukan Pan Borneo hanya boleh beroperasi di dalam sempadan kerja Pan Borneo sahaja,” katanya sebagai menjawab kepada perkara dibangkitkan oleh Datuk Darell Leiking (Moyog) berkenaan isu banjir, pengambilan balik tanah dan pengalihan utility yang berkaitan dengan LPB.
PENGAMBILAN TANAH
Shahelmey berkata, proses pengambilan tanah bagi pembinaan Projek LPB Sabah telah dibuat di bawah Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah Cap 69 (Vol. 1) yang memperuntukkan bahawa tanah dan bangunan di atasnya akan terambil oleh Kerajaan tanpa perlu melalui proses pemindahan hak milik.
Katanya, tanah-tanah ini telah diwartakan sebelum pembinaan bermula.
“Walau bagaimanapun, kelewatan berlaku apabila terdapat halangan perobohan struktur di mana terdapat segelintir pemilik struktur yang enggan berpindah walaupun telah menerima wang pampasan. Proses pengosongan struktur berdasarkan undang-undang (eviction) mengambil masa untuk diselesaikan,” jelasnya.
KELEWATAN PENGALIHAN UTILITI
Beliau berkata, pengalihan utiliti bagi Projek LPB Fasa 1A adalah mengikut Garis Panduan Pengalihan dan Pemasangan Semula Utiliti (Bilangan 1 Tahun 2016) di mana skop dan kos pengalihan utiliti adalah di bawah skop kerja kontraktor dan hanya akan dapat dimulakan setelah kontraktor dilantik. Pihak kontraktor telah bersedia untuk meneruskan kerja pengalihan utiliti tetapi tertangguh disebabkan oleh penutupan bekalan 132kV di pihak SESB sejak tahun lalu.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang tidak menentu dan sentiasa berhati-hati dalam melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
“Menurut rekod, kejadian banjir besar juga pernah berlaku pada tahun 2009 sebelum bermulanya kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.


































