KULIM: Salah seorang mangsa dua beradik yang kritikal akibat termakan keropok mengandungi racun tikus dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), pagi ini.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 pagi setelah terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke HPP, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Azizul Mohd. Khairi mengesahkan perkara itu.
Sementara itu, adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, yang turut menerima rawatan di hospital sama masih belum sedarkan diri sehingga kini.
Dalam kejadian itu, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi disedari ibu mereka dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini selepas termakan keropok bercampur racun tikus.
Racun jenis serbuk itu dipercayai digunakan oleh penduduk untuk memerangkap haiwan liar terutama monyet yang didakwa merosakkan tanaman mereka dan mengganggu ketenteraman penduduk.
Sementara itu, polis sudah mengambil keterangan daripada dua individu berusia 53 dan 34 tahun yang disyaki meletakkan bungkusan makanan ringan itu pada dawai besi sekeliling pagar kebun.
Hasil kajian makmal daripada sampel makanan yang dimakan oleh kanak-kanak itu mendapati racun tikus jenis serbuk itu keluaran negara China yang banyak dijual di pasaran terutama kedai racun.