Orang ramai memeriksa keadaan mangsa yang dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan semalam.
GUA MUSANG: Wanita yang nyaris maut dihempap kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara di sini semalam terpaksa ditidurkan untuk menjalani prosedur pembedahan.
Menurut Utusan Malaysia, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan masih dalam pemantauan rapi doktor selepas bahagian tulang punggung dan tulang rusuk patah akibat batang balak menimpa bahagian belakangnya.
Selain itu, wanita itu juga mengalami kecederaan serius pada bahagian hati, limpa, hempedu dan usus.
Abang mangsa, Mohamad Azwa, 28, adiknya ditidurkan kira-kira pukul 6 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut dan dalam pengawasan doktor.
“Doktor memaklumkan akan buat pembedahan pada bahagian tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.
“Doktor ketika ini sedang merawat bahagian usus. Buat masa ini, semangat adik saya sangat kuat apabila dia tengah lawan sakitnya. Meskipun ditidurkan, Siti Norelyana masih memberi tindak balas positif pada bahagian kaki dan tangannya,” katanya
Mohamad Azwa memberitahu, dia tidak menyangka adiknya merupakan mangsa kemalangan selepas melihat rakaman video papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial semalam.
Katanya, seluruh ahli keluarganya mengharapkan keajaiban dan memohon doa daripada orang ramai untuk kesembuhan Siti Norelyana.
“Mengikut perancangan, dia akan melangsungkan perkahwinan pada bulan 12 nanti.
“Saya berharap apa yang dia impikan selama ini tercapai dan meminta doa orang ramai untuk kesembuhan adik,” ujarnya.
Utusan Online sebelum itu melaporkan,
seorang wanita nyaris maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dibawa sebuah lori ketika sedang mengambil selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini.


































