Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan terus memantau perkembangan varian baharu Covid-19 termasuk subvarian XFG yang mula dikesan di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun XFG hanya menyumbang 8.2 peratus daripada keseluruhan kes, ia tetap dipantau kerana kadar kebolehjangkitannya lebih pantas berbanding varian terdahulu.
“XFG adalah sebahagian daripada keluarga Omicron dan tidak lebih ganas dari segi simptom.
“Namun, sifatnya yang lebih cepat menular memerlukan pemantauan berterusan melalui survelan genomik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di sini kelmarin.
Tambahnya, berdasarkan survelan genomik sehingga Minggu Epidemiologi ke-35 (ME35/2025), varian NB.1.8.1 dikesan paling dominan dengan kadar 39.4 peratus, diikuti JN.1 (18.1 peratus), XEC (13.3 peratus) dan lain-lain varian sebanyak 21 peratus.
Dalam pada itu, sebanyak 43,087 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh negara sehingga ME35/2025, iaitu penurunan hampir 50 peratus berbanding 85,297 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Bagi minggu terkini, 594 kes direkodkan, menurun 12.8 peratus berbanding 681 kes pada minggu sebelumnya. Angka ini menunjukkan trend yang positif, namun KKM tidak pernah leka dalam pemantauan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, satu kematian baharu turut dilaporkan pada ME35 melibatkan seorang warga emas berusia 91 tahun yang terlantar dan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 pada tahun ini adalah tiga kes.
“Orang ramai digesa terus berwaspada dengan mencuci tangan secara kerap, memakai pelitup muka jika bergejala atau berada di tempat sesak serta mendapatkan vaksinasi khususnya bagi kumpulan berisiko.
“Covid-19 kini berada pada tahap endemik tetapi ia kekal sebagai virus yang perlu diawasi.
“Kerjasama masyarakat amat penting supaya tiada gelombang baharu tercetus,” katanya.
































