Hajiji menyampaikan bantuan SYUKUR kepada seorang individu berkeperluan khas.
TUARAN: Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada jumlah yang direkodkan pada Januari 2026, melibatkan seramai 10,825 KIR, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Berdasarkan data eKasih setakat 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang direkodkan pada Januari tahun ini telah berjaya dikurangkan sebanyak 100 peratus melalui pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih, serta pelaksanaan intervensi bantuan yang disasarkan telah berjaya membawa perubahan yang signifikan kepada kumpulan sasar.
“Namun, pencapaian ini bukanlah penamat kepada perjuangan kita. Kerajaan Negeri menyedari masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih setakat 31 Mei 2026, seramai 57,710 ketua isi rumah masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 pada Januari 2026, mewakili pengurangan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya ketika melancarkan Program Jerayawara Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata, jumlah keseluruhan individu yang diklasifikasikan sebagai miskin turut mencatatkan penurunan yang ketara.
Menurutnya, jumlah ketua isi rumah miskin dan Ahli Isi Rumah (AIR) berkurangan daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.
Merujuk kepada Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Hajiji berkata, kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024.
Sementara itu, kadar kemiskinan tegar turut menunjukkan penurunan daripada 1.2 peratus pada 2022 kepada 0.7 peratus pada 2024, iaitu pengurangan sebanyak 0.5 mata peratusan.
“Walaupun Sabah masih mencatatkan kadar kemiskinan mutlak dan kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia, penurunan kadar insiden ini menunjukkan bahawa pelbagai dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil,” katanya.
Hajiji berkata, pencapaian sifar kemiskinan tegar pada tahun 2026 merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Sabah ke arah pembangunan sosial yang lebih inklusif.
“Namun, cabaran sebenar yang masih perlu ditangani ialah mengurangkan kadar kemiskinan negeri yang masih lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Justeru, SMJ 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan kadar kemiskinan secara berperingkat sehingga menghampiri kadar nasional menjelang 2030 menerusi pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kadar kemiskinan mutlak Sabah dapat dikurangkan secara progresif kepada sekitar tiga hingga lima peratus, manakala kadar kemiskinan tegar kepada antara sifar hingga 0.1 peratus menjelang tahun 2030.
“Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan akan terus melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan dan Kemiskinan Tegar Sabah dengan memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan mampu milik, pembangunan modal insan, pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan bersasar kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat Sabah tanpa mengira lokasi, latar belakang atau status ekonomi.
Usaha Kerajaan Negeri membasmi kemiskinan tegar dipandu oleh lima strategi intervensi utama.
Strategi pertama ialah bantuan perumahan melalui penyediaan rumah percuma di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, kedua bantuan pekerjaan menerusi Program MySMJ Kerja, dan ketiga bantuan modal insan serta pendidikan melalui 14 jenis bantuan pendidikan termasuk biasiswa Kerajaan Negeri Sabah serta bantuan daripada Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Intervensi keempat ialah bantuan kebajikan yang memberi tumpuan kepada golongan tidak produktif seperti warga emas, pesakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU), manakala intervensi kelima memberi fokus kepada keusahawanan dan pemerkasaan ekonomi menerusi program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera MADANI.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah meletakkan pembasmian kemiskinan sebagai salah satu keutamaan utama dalam agenda pembangunan negeri.
“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara dan setiap warga menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Sehubungan itu, usaha yang dimulakan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 diteruskan dan diperkukuhkan lagi melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya.




























