PETALING JAYA: Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026 yang berpotensi menjejaskan corak hujan, namun keadaan dijangka kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.
Menurut Utusan Malaysia, Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, tinjauan cuaca jangka panjang bagi September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kekal neutral dengan kebarangkalian 56 peratus sehingga Oktober ini.
“Berdasarkan konsensus beberapa model tinjauan iklim, fenomena global yang mempengaruhi corak cuaca negara seperti ENSO, Madden Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD) turut dijadikan rujukan.
“Majoriti model iklim antarabangsa menunjukkan ENSO berada pada keadaan neutral dengan Indeks Nino Lautan (ONI) terkini di kawasan pemantauan Nino 3.4 bagi Mei, Jun dan Julai 2025 adalah -0.1 darjah Celsius,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Selepas tempoh tersebut, terdapat kemungkinan La Nina berlaku dalam jangka masa singkat pada awal tahun depan sebelum pola cuaca kembali stabil.
“Fenomena ini dijangka memberi kesan kepada corak taburan hujan di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya.
MetMalaysia berkata, pada masa ini negara masih berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September 2025.
“Tiupan angin barat daya menyebabkan kelembapan udara rendah sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan di kebanyakan negeri.
“Sehubungan itu, lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan dijangka berlaku selain risiko jerebu setempat dan rentas sempadan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal,” katanya.
Tambah kenyataan itu, meskipun keadaan cuaca kering, risiko angin kencang serta ribut petir tetap wujud terutama di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah.
“Ribut petir lazimnya berlaku pada awal pagi akibat garis badai, iaitu barisan ribut petir yang terbentuk hasil penumpuan angin dan boleh berlarutan beberapa jam.
“Bagi keadaan cuaca semasa, analisis model-model ramalan terkini menunjukkan angin baratan kencang dijangka melanda rantau negara bermula 22 hingga 25 September ini.
“Keadaan ini berpotensi membawa fenomena garis badai yang menghasilkan hujan lebat serta angin kencang terutama di utara Sarawak, barat Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
MetMalaysia pada masa sama menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
































