Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Malaysia berjaya mengekalkan penarafan kredit berdaulat pada tahap ‘A-’ dengan tinjauan Stabil oleh S&P Global Ratings (S&P), sekali gus membuktikan keyakinan terhadap kekuatan asas ekonomi negara serta pengurusan makroekonomi yang kukuh di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu amat signifikan memandangkan ia dicapai ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan aliran perdagangan dan cabaran geopolitik.
“Kerajaan Madani memberi tumpuan kepada menambah baik kualiti kehidupan rakyat (menaikkan lantai) serta melaksanakan reformasi ekonomi (menaikkan siling), di samping memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.
“Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kerajaan beriltizam untuk meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Pada tahun lalu dan 2023, S&P turut mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- selain menetapkan tinjauan pada kadar Stabil.
Menurut S&P, penarafan tersebut disokong oleh faktor ekonomi yang pelbagai, kestabilan politik, momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran seimbang serta defisit fiskal yang mengecil.
Agensi itu turut menegaskan bahawa kestabilan politik di bawah pentadbiran Anwar telah menggalakkan penggubalan dasar, sekali gus membolehkan pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berterusan.
“Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia serta persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” kata laporan itu.
S&P juga menekankan kekuatan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, dasar monetari fleksibel serta lebihan akaun semasa yang konsisten sebagai faktor utama mengekalkan penarafan tersebut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini.
“Ia dipacu oleh perbelanjaan isi rumah berdaya tahan, pasaran buruh yang memberangsangkan, kadar inflasi terkawal, pelancongan domestik rancak dan dasar kerajaan dalam mengekalkan kuasa beli rakyat.
“Pertumbuhan ini turut disokong oleh aktiviti pelaburan sektor swasta dan awam, khususnya dalam pembuatan, perkhidmatan serta pembangunan infrastruktur. Secara keseluruhan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang antara 4.0 hingga 4.8 peratus pada 2025,” katanya.
Selain itu, Malaysia mengekalkan kedudukan luaran yang stabil dengan rekod lebihan akaun semasa lebih dua dekad, manakala S&P menjangkakan ia kekal sekitar 2.1 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus berwaspada terhadap cabaran global yang dinamik termasuk perubahan dasar perdagangan antarabangsa dengan memastikan dasar ekonomi negara kekal tangkas dan fleksibel.
Katanya, agenda pembaharuan menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi Madani akan terus dilaksanakan bagi mencapai pertumbuhan mampan, daya tahan ekonomi kukuh dan kemampanan fiskal.
“Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 akan menjadi panduan memastikan konsolidasi fiskal berada pada landasan tepat tanpa menjejaskan pertumbuhan.
“Belanjawan 2026 yang akan diumumkan bulan hadapan adalah belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 dan ia akan menjadi pemacu penting untuk melonjakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
































