Jafry (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian.
KOTA KINABALU: Regatta Lepa Semporna Kali Ke-31 dijangka menarik 50,000 pengunjung daripada pelancong tempatan dan luar negara.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, Regatta Lepa merupakan antara acara kebudayaan dan pelancongan yang paling ikonik di Sabah serta menjadi simbol kebanggaan negeri ini dan memainkan peranan penting dalam memelihara, memperkukuh dan memartabatkan warisan budaya.
“Acara ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan tahun ini memasuki penganjuran kali ke-31 yang sebagai mempromosikan budaya serta memperkukuh industri pelancongan di negeri ini.
“Penganjuran acara ini bukan sahaja memelihara warisan budaya masyarakat Bajau Semporna malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan keunikan seni, tradisi dan identiti masyarakat maritim Sabah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Program ini akan diadakan pada 26 hingga 28 Jun ini bertempat di Dataran Regatta Lepa dan Padang Bandaran Semporna dan dijangka majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Manakala majlis penutupan pada 27 Jun akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.
“Program ini dijangka menarik kehadiran sehingga 50,000 pengunjung yang terdiri daripada pelancong domestik, pelancong antarabangsa dan masyarakat tempatan.
“Regatta Lepa mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama negeri Sabah. Perayaan ini memperlihatkan semangat perpaduan, kerjasama dan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama memelihara serta memartabatkan warisan budaya negeri,” katanya kepada media semasa Sidang Media Sempena Sambutan Regatta Lepa Kali Ke-31 Tahun 2026, di sini, pada Isnin.
Jafry berkata, program itu dijangka merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan permintaan terhadap sektor penginapan, makanan, pengangkutan, kraftangan dan pelancongan, di samping memberi peluang kepada usahawan tempatan serta pengusaha pelancongan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Menurut beliau, terdapat pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang penganjuran antaranya Malam Sangom Maglami-Lami, sukan laut, perlumbaan perahu, pameran, program kebudayaan, larian Lepa dan pertandingan Ratu Lepa.
Jafry berkata, orang ramai khususnya pelancong dari luar tidak perlu ragu-ragu untuk berkunjung ke Semporna kerana kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif sewajarnya termasuk menempatkan pasukan keselamatan di pulau-pulau sekitar daerah itu.
“Kalau kita lihat hasilnya kebelakangan ini, tidak berlaku sebarang kes di luar jangkaan di Semporna. Pada awal tahun ini, kerajaan Amerika Syarikat telah menurunkan tahap amaran keselamatan bagi daerah ini daripada tahap tiga kepada tahap dua maknanya mereka mengiktiraf usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Bukan sahaja Amerika Syarikat, malah beberapa duta asing turut dijemput untuk menilai sendiri tahap keselamatan di Semporna dan merasai suasana sebenar di daerah ini,” jelasnya.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Josie Lai, Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS II, Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing, Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Pegawai Daerah Semporna, Mas Syazwan Masood.






























