Tun Musa dan Hajiji bersalam dengan umat Islam yang menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah 1448H Peringkat Negeri di Masjid Negeri Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah 1448H Peringkat Negeri yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Haji Aman bersama Toh Puan Hajah Faridah Haji Tussin yang berkenan menyertai umat Islam negeri ini dalam memanjatkan kesyukuran serta memohon keberkatan sempena kedatangan tahun baharu Hijrah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah sebelum diteruskan dengan bacaan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah, bacaan Surah Yassin, tahlil dan doa selamat.
Program itu turut diisi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta penyampaian tazkirah khas.
Majlis berkenaan merupakan antara pengisian rasmi Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang bertujuan menyemarakkan syiar Islam, memperkukuh ukhuwah serta menghayati nilai-nilai hijrah dalam kehidupan bermasyarakat.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Haji Kadzim Haji M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd. Razali Wahab; Pembantu-pembantu Menteri, Ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.




























