Fahmi Fadzil
PETALING JAYA: Platform media sosial TikTok akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan platform berkenaan terutama kes penyebaran maklumat palsu, aktiviti jualan di TikTok Shop, kelewatan memberi kerjasama kepada siasatan polis dan isu lain.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mereka akan dipanggil Khamis ini untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara.
Katanya, pertemuan buat pertama kali dengan TikTok itu dibuat sebelum kerajaan memanggil platform media sosial lain bagi berbincang mengenai pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
“Pertemuan akan diadakan Khamis ini di Bukit Aman dan saya memanggil pengurusan tertinggi TikTok.
“Banyak isu melibatkan penyebaran berita palsu yang mana pihak TikTok mengambil masa terlalu lama untuk memberi kerjasama kepada polis.
Dalam kes terkini membabitkan doktor atau pakar bedah palsu, TikTok lambat memberikan maklumat kepada pihak polis sehinggakan saya sendiri terpaksa menghubungi ketua pegawai eksekutif (CEO) secara peribadi,” katanya selepas menghadiri Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pertemuan itu juga akan membincangkan aduan berkaitan TikTok Shop, susulan aduan pelanggan sering menerima barangan tidak menepati pesanan.
“Kita tidak mahu orang beli satu barang di platform itu tetapi yang diterima adalah barang lain,” katanya.
Fahmi berkata, Meta juga akan dipanggil selepas ini kerana isu sama turut dikesan di platform miliknya.
“Kita dapati banyak masalah seperti pedofilia dan kes membabitkan pelajar tersebar melalui WhatsApp dan Facebook,” katanya.
Beliau berkata, sesi dialog dengan Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara itu bagi memastikan semua platform mematuhi undang-undang negara memandangkan mereka dilihat masih gagal mengurus isu ini dengan serius.


































