James menyampaikan sijil penghargaan kepada Jais Asri selaku salah seorang ahli panel forum.
KOTA KINABALU: Isu “curang tanpa niat” dalam kalangan penjawat awam semakin mendapat perhatian kerana mampu mencalarkan imej perkhidmatan Kerajaan walaupun ia bukan jenayah rasuah secara langsung.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, perbuatan itu boleh dianggap remeh oleh sesetengah pihak, namun hakikatnya ia menjejaskan kredibiliti pentadbiran serta boleh membawa implikasi tatatertib dan undang-undang.
“Walaupun ia bukan jenayah, ia tetap mencemarkan imej perkhidmatan awam dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Oleh itu, sistem tadbir urus yang sistematik dan polisi yang jelas amat penting bagi memastikan keadilan serta konsistensi dalam tindakan terhadap penjawat awam,” katanya ketika merasmikan Program VARSHA Integriti anjuran Kementeriannya dengan kerjasama Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS), di sini, hari ini.
Menurut James, program itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri untuk menjadikan integriti sebagai budaya kerja yang wajib dihayati dan diamalkan oleh semua penjawat awam, bukan sekadar slogan.
Bertemakan “Setting Up the Boundaries” atau Menetapkan Sempadan, program berkenaan menekankan kepentingan garis panduan dalam pentadbiran supaya setiap penjawat awam jelas tentang batasan dan tanggungjawab mereka.
James berkata, rakyat bukan sekadar mahu menerima perkhidmatan, tetapi mahu merasakan ia disampaikan secara jujur, telus, adil dan berkesan.
Justeru, katanya, integriti adalah asas kepada kecekapan pentadbiran serta kunci utama membina keyakinan rakyat terhadap Kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa kesedaran tentang integriti perlu diperluas meliputi aspek moral, profesionalisme serta kesihatan mental bagi memperkasakan penjawat awam menghadapi cabaran baharu pentadbiran moden.
“Sesungguhnya, sikap kebertanggungjawaban seorang penjawat awam adalah cerminan integriti sesebuah pentadbiran Kerajaan. Dengan integriti yang tinggi, pentadbiran akan lebih berkesan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan,” katanya.
Program VARSHA Integriti turut menampilkan forum khas melibatkan tiga ahli panel iaitu Dr. Ahmad Abdul Jalil Mohd Razali (Doktor Psikiatri), Noor Azah Abd. Rahman (Pegawai Undang-Undang, Panel Bantuan Guaman Wanita), serta Pengarah JPKA, Jais Asri.


































