Stetoskop AI ini mampu mengesan tiga penyakit jantung dalam masa 15 saat.
LONDON: Dunia perubatan menyaksikan satu lagi revolusi teknologi apabila sekumpulan penyelidik membangunkan stetoskop pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan tiga penyakit jantung dalam masa 15 saat.
Menurut Utusan Malaysia, stetoskop, yang dicipta pada tahun 1816 menjadi alat penting dalam bidang perubatan selama lebih dua abad namun, inovasi terbaharu ini memberi nafas baharu apabila peranti tersebut mampu mengesan kegagalan jantung, penyakit injap jantung serta degupan jantung tidak normal dengan lebih pantas dan tepat.
Peranti canggih itu dibangunkan oleh penyelidik di Imperial College London dan Imperial College Healthcare NHS Trust di mana ia berupaya menganalisis perbezaan kecil pada degupan jantung dan aliran darah yang tidak dapat dikesan oleh telinga manusia, selain menjalankan ujian elektrokardiogram (ECG) segera.
Penemuan tersebut dibentangkan di Kongres Tahunan Persatuan Kardiologi Eropah di Madrid, yang merupakan persidangan jantung terbesar dunia, di hadapan ribuan pakar kardiologi dari seluruh dunia.
Kajian tersebut melibatkan kira-kira 12,000 pesakit dari 200 klinik di Britain mendapati pesakit yang diperiksa menggunakan stetoskop AI itu dua kali ganda lebih berpeluang dikesan mengalami kegagalan jantung berbanding pesakit lain.
Malah, pengesanannya terhadap masalah degupan jantung tidak normal, atrial fibrillation, meningkat tiga kali ganda, manakala pengesanan penyakit injap jantung pula hampir dua kali ganda.
Dr Patrik Bächtiger dari Institut Jantung dan Paru-Paru Nasional Imperial College berkata, kejayaan ini mengubah landskap penggunaan stetoskop.
“Reka bentuk stetoskop tidak pernah berubah selama 200 tahun. Kini, pemeriksaan 15 saat mampu memberi keputusan pantas sama ada seseorang berisiko menghidap kegagalan jantung, atrial fibrillation atau penyakit injap jantung,” katanya.
Peranti bersaiz kad permainan yang dihasilkan syarikat teknologi kesihatan dari California, Eko Health, itu berfungsi dengan diletakkan pada dada pesakit di mana ia merakam bacaan elektrik jantung dan bunyi aliran darah, kemudian menghantar data tersebut ke storan awan untuk dianalisis oleh algoritma AI.
Keputusan analisis seterusnya dipaparkan terus ke telefon pintar.
Walau bagaimanapun, pakar mengingatkan peranti ini hanya sesuai digunakan ke atas pesakit yang mempunyai simptom seperti keletihan atau sesak nafas, dan bukan untuk pemeriksaan rutin orang sihat kerana risiko positif palsu.


































