KENINGAU: Penduduk Kampung Labak Baru, Bingkor kini menikmati kemudahan baharu apabila sebuah Dewan Terbuka berjaya disiapkan dan diserahkan kepada komuniti kampung melalui peruntukan khas Kementerian Kewangan.
Majlis penyerahan projek tersebut telah disempurnakan baru-baru ini, oleh Rafie Robert, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, hadir mewakili Datuk Robert Tawik, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah yang juga ADUN Bingkor.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembinaan Dewan Terbuka ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk kampung kerana ia berfungsi sebagai pusat kegiatan komuniti yang lebih selesa dan kondusif. Kemudahan ini bukan sahaja dapat digunakan untuk perhimpunan rasmi dan mesyuarat, malah juga sebagai ruang untuk program kemasyarakatan, aktiviti belia, kebudayaan serta majlis keramaian penduduk.
Pada hari yang sama, satu lagi majlis penyerahan turut diadakan di Kampung Sasaie, menandakan berakhirnya penantian lebih 40 tahun untuk memiliki sebuah dewan terbuka bagi kegunaan komuniti setempat.
Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji bin Haji Noor sentiasa komited memastikan rakyat terus menikmati arus pembangunan yang adil dan menyeluruh. Usaha ini adalah sebahagian daripada agenda Sabah Maju Jaya, yang turut disokong dengan hala tuju “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”.
Dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan negeri, wakil rakyat dan komuniti setempat, lebih banyak projek pembangunan dijangka dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Bingkor secara keseluruhannya.


































