SINGAPURA: Bermula 1 September ini, Singapura akan mengenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan 15 sebatan terhadap individu yang mengimport rokok elektronik yang mengandungi bahan etomidate.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataan bersama, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri memaklumkan penjual dan pengedar rokok elektronik etomidate turut akan berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun serta lima sebatan.
“Mulai tarikh tersebut, individu yang didapati menggunakan atau menunjukkan hasil saringan positif etomidate tidak lagi hanya dikenakan denda, sebaliknya boleh diarahkan menjalani rawatan, pemulihan, pengawasan mandatori dan penahanan,” menurut kenyataan itu.
Rokok elektronik etomidate ialah vape yang mengandungi campuran etomidate sejenis ubat bius kuat yang kini dikategorikan sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun.
Mulai 1 September, etomidate dan analognya akan diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973 (MDA), untuk tempoh sementara enam bulan, sementara MOH memperkenalkan undang-undang kekal yang lebih sesuai.
Kedua-dua kementerian memberi amaran penggunaan vape jenis ini boleh mendatangkan kesan buruk serius terhadap kesihatan pengguna, termasuk kerosakan otak. Beberapa kematian luar biasa dan satu kemalangan maut telah dikaitkan dengan penggunaannya.
Langkah baharu ini turut melibatkan penyenaraian kesalahan berkaitan rokok elektronik di bawah beberapa undang-undang utama.
Langkah ini bertujuan memperkukuh tindakan terhadap penjual, penyeludup dan sindiket yang terbabit dalam pengedaran rokok elektronik haram.
Individu yang memiliki, membeli atau menggunakan rokok elektronik akan dikenakan hukuman lebih berat mulai 1 September:
Pesalah kali pertama denda dinaikkan kepada S$500 (RM1,641) bagi remaja bawah 18 tahun dan S$700 (RM2,298) bagi orang dewasa, berbanding denda semasa S$300 (RM984) dan S$500 (RM1,641).
Pesalah berulang wajib mengikuti program pemulihan, berdepan pendakwaan di mahkamah dan boleh didenda sehingga S$2,000 (RM6,566).
Bagi warga asing yang memiliki atau menggunakan rokok elektronik, vape mereka akan dirampas dan mereka akan dikenakan denda. Bagi pesalah berulang, hukuman lebih berat akan dikenakan.
Pelawat jangka pendek yang mengulangi kesalahan akan disenarai hitam daripada memasuki semula Singapura.
Pemegang pas imigresen jangka panjang seperti Pas Pekerjaan, S Pass, Permit Kerja, Pas Pelajar atau Pas Tanggungan pula berisiko dibatalkan pas mereka selepas kesalahan kali ketiga dan dihantar pulang serta diharamkan daripada kembali ke Singapura.
Mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau menunjukkan saringan positif etomidate turut berdepan pembatalan pas imigresen dan tindakan pengusiran.
Kedua-dua kementerian menegaskan sebarang rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kes individu.


































