Siput bercengkerang kiri tidak dapat mengawan dengan siput bercengkerang kanan akibat kedudukan organ pembiakan yang terbalik.
WELLINGTON: Penduduk New Zealand diminta membantu mencarikan pasangan bagi seekor siput unik yang dinamakan sebagai Ned.
Menurut Utusan Malaysia, siput itu yang ditemukan minggu lalu di Wairarapa, utara Wellington, memiliki cengkerang berpusing ke kiri, sesuatu yang jarang berlaku dan hanya ditemui kira-kira satu dalam 40,000 ekor.
Keunikan itu menyebabkan Ned berdepan nasib hidup bersendirian seumur hidup kerana siput bercengkerang kiri tidak dapat mengawan dengan siput bercengkerang kanan akibat kedudukan organ pembiakan yang terbalik.
Ned kemudian dijumpai oleh penulis dan ilustrator, Giselle Clarkson, ketika dia menggali kebun sayurnya.
“Pada mulanya saya fikir ia spesies lain kerana ada yang pelik. Selepas melihat lebih dekat, baru saya sedar cengkerangnya berpusing ke kiri,” katanya kepada The Guardian.
Clarkson, yang mengenali spesies siput jarang ini melalui kerjanya bersama majalah New Zealand Geographic, segera menghubungi pihak berkenaan selepas menyedari keistimewaan tersebut dan Ned kini ditempatkan di dalam sebuah akuarium kecil sementara menunggu nasibnya berubah.
Susulan itu, majalah berkenaan melancarkan kempen seluruh negara untuk mencari pasangan buat Ned di mana orang ramai diminta memeriksa kebun, taman dan kawasan sekitarnya, serta melaporkan jika menemui siput bercengkerang kiri.
Walaupun spesies siput ini dianggap perosak di kebun-kebun New Zealand, editor New Zealand Geographic, Catherine Woulfe berkata kempen tersebut mempunyai matlamat lebih besar.
“Kempen ini bukan sahaja tentang Ned. Kami mahu menghubungkan orang ramai, terutamanya kanak-kanak, dengan alam sekitar. Ia mungkin kelihatan ringan dan lucu, tetapi ia pintu masuk untuk memahami dunia semula jadi dan keunikan pembiakan hidupan,” katanya.
Menurutnya, usaha itu juga dilihat sebagai cara mendekatkan semula generasi baharu dengan alam semula jadi, selaras dengan kajian terbaharu yang mendedahkan hubungan manusia dengan alam telah merosot sebanyak 60 peratus dalam tempoh 200 tahun.
Kempen ini mengimbau kembali kisah pada tahun 2017 apabila pencarian global dilakukan untuk siput ‘Jeremy’ di London, yang turut memiliki cengkerang berpusing ke kiri.


































