Johan Jahid
KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, rakyat negeri ini diingatkan bahawa patriotisme sebenar tidak hanya dizahirkan dengan menyanyikan lagu kebangsaan atau mengibarkan bendera, tetapi melalui keberanian untuk keluar mengundi.
Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Johan Jahid berkata, penglibatan rakyat dalam proses demokrasi adalah bukti kecintaan terhadap negeri dan negara, khususnya ketika sambutan Bulan Kebangsaan serta Hari Sabah yang bakal diraikan.
“Mengundi adalah salah satu ungkapan kebebasan yang paling berkuasa dalam negara demokrasi. Hak mengundi bukan sekadar keistimewaan, tetapi kuasa untuk menentukan siapa yang mewakili kita di Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Johan, kekuatan demokrasi Sabah terletak pada kepelbagaian suara, budaya dan identiti rakyatnya. Justeru, PRN kali ini memberi peluang besar kepada pengundi untuk memilih pemimpin yang benar-benar memahami cabaran hidup rakyat serta komited terhadap pentadbiran berintegriti.
Beliau menegaskan, undi rakyat bukan hadiah kepada ahli politik, sebaliknya tuntutan untuk memastikan akauntabiliti. “Menjauhkan diri daripada proses demokrasi bukan penyelesaian kepada kelemahan pentadbiran. Kita perlu gunakan kuasa yang telah pun berada di tangan kita,” ujarnya.
Johan mengulas gesaan segelintir pihak supaya memboikot pilihan raya selagi isu lama tidak diselesaikan, namun menegaskan tindakan itu hanya akan melambatkan kemajuan negeri.
Dalam pada itu, beliau merujuk kepada dapatan kaji selidik Vodus Research yang mendedahkan 32 peratus pengundi di Sabah masih belum membuat keputusan, satu jumlah besar yang berpotensi menentukan keputusan pilihan raya.
Kajian sama menunjukkan pengundi kini semakin menumpukan perhatian kepada isu-isu utama seperti ekonomi, kos sara hidup, penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan dan rasuah, berbanding kesetiaan kepada parti politik semata-mata.
“Ini menunjukkan perubahan besar ke arah pengundian berasaskan isu dan kredibiliti calon. Seramai 66 peratus responden menyenaraikan kecekapan, integriti dan kebolehpercayaan sebagai faktor utama pemilihan, terutamanya dalam kalangan Bumiputera dan komuniti Muslim,” jelasnya.
Bagi rakyat luar bandar, Johan menegaskan bahawa pilihan raya ini merupakan peluang penting untuk menuntut kepimpinan yang benar-benar fokus kepada penyelesaian masalah asas seperti infrastruktur, peluang pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan.
“Ini peluang kita untuk memilih pemimpin yang mendengar dan bertindak, bukan sekadar berjanji,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru pengundi kali pertama, dianggarkan mewakili lapan peratus daripada jumlah keseluruhan, agar memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan politik Sabah.
Beliau turut menekankan bahawa 42 peratus pengundi daripada kumpulan B40 masih belum membuat keputusan, satu isyarat jelas bahawa mesej politik yang lebih meyakinkan perlu disampaikan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Ramai yang letih dengan janji kosong dan ketidakstabilan politik. Namun, menjauhkan diri daripada pilihan raya hanya memastikan masalah ini berterusan. Patriotisme sebenar bukan hanya dengan mengibarkan bendera, tetapi dengan mengambil tanggungjawab melalui undi,” katanya lagi.
Johan pada masa sama menggesa pertubuhan masyarakat sivil, belia dan pemimpin komuniti memperhebatkan pendidikan pengundi di seluruh Sabah, bagi memastikan rakyat benar-benar faham kuasa yang mereka miliki.
“Kuasa sebenar terletak di tangan rakyat. Gunakan ia dengan jelas, yakin dan berani. Jangan serahkan suara anda, biar undi anda mencerminkan aspirasi dan komitmen untuk Sabah yang lebih baik,” tegasnya.


































