Alice duduk di atas kerusi roda ketika diberi rawatan kecemasan selepas disengat kala jengking di butik Zara di Sao Paulo, Brazil.
SAO PAOLO: Seorang pelajar seni bina berusia 20 tahun dikejarkan ke hospital selepas disengat oleh seekor kala jengking ketika mencuba pakaian di sebuah bilik persalinan butik Zara, pada Rabu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mangsa, Alice Spies, berkata dia rasa sesuatu merayap di kakinya sebelum mengalami kesakitan yang mencucuk serta rasa pening secara tiba-tiba sebelum terbampak seekor kala jengking kuning bersaiz besar pada pakaiannya.
Kakitangan butik bergegas memberikan rawatan awal dan meletakkan Alice di atas kerusi roda sementara menunggu ketibaan pasukan paramedik sebelum dibawa ke Hospital Wilayah Asa Norte untuk rawatan lanjut selama lima jam termasuk diberikan cecair intravena.
Rakaman video kejadian menunjukkan keadaan cemas ketika Alice dipindahkan dari kerusi roda ke ambulans sebelum dihantar ke hospital.
Alice kini sudah dibenarkan pulang tetapi mengakui masih mengalami kesakitan akibat sengatan tersebut.
Dalam satu kenyataan, pihak Park Shopping menegaskan pasukan kecemasan mereka segera bertindak menyelamatkan mangsa dan memaklumkan keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan.
Jurucakap Zara pula berkata pihaknya kesal dengan insiden tersebut dan kini berhubung secara langsung dengan Alice untuk memberikan bantuan sewajarnya.
“Kami memandang serius kejadian ini dan sedang berusaha memastikan langkah pencegahan tambahan diambil,” kata jurucakap itu.


































