KOTA KINABALU: Polis Sabah menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus bagi pembayaran saman trafik terpilih selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos 2025, bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pembayaran hanya boleh dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
“Tempoh pembayaran bermula jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang sepanjang tiga hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, diskaun 50 peratus itu tidak terpakai untuk beberapa kategori saman tertentu.
Antara saman yang dikecualikan ialah saman kemalangan, saman berstatus Op Selamat, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah serta saman berkaitan kenderaan berat atau lori.
Turut tidak termasuk dalam tawaran diskaun itu ialah saman kesalahan potong secara bahaya atau potong Q, kesalahan menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.
Polis menasihati orang ramai supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan saman masing-masing, sekali gus mengelakkan tindakan lanjut diambil terhadap mereka.






























