KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk menggunakan MyKad sebagai kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 berada dalam fasa akhir.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan pada masa ini sedang dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata, ini termasuk pengujian MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar penyasaran subsidi ini dilaksana secara efisien tanpa merumitkan rakyat.
“Mekanisme MyKad ini digunakan dengan memasukkan MyKad ke terminal pembaca MyKad yang disediakan kerajaan. Terminal ini akan berhubung dengan pangkalan data pusat kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.
“Jika layak, rakyat boleh membeli RON95 dengan harga subsidi RM1.99 sen seliter dan sekiranya tidak, pembayaran dibuat mengikut harga dipam tanpa subsidi,” katanya pada Sesi Kamar Khas di Parlimen kelmarin.
Amir Hamzah berkata, kerajaan giat bekerjasama dengan syarikat minyak bagi mengkaji penyediaan pilihan kepada pengguna termasuk opsyen membeli minyak bersubsidi di pam tanpa perlu ke kaunter pembayaran.
“Selain itu, boleh juga menggunakan aplikasi syarikat minyak demi memastikan proses berjalan lancar dan mengelak sebarang kesesakan di stesen minyak,” katanya turut menjelaskan penggunaan kaedah MyKad juga sudah dilaksana ke atas inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau berkata, buat masa ini, kriteria penerima subsidi RON95 masih belum dimuktamadkan.
“Mengambil kira penggunaan RON95 oleh rakyat biasa yang jauh lebih meluas berbanding diesel, adalah wajar pendekatan lebih terangkum diambil dalam menentukan golongan layak untuk subsidi ini.
“Ramai guna RON95 ulang alik ke tempat kerja dan kerajaan akan memastikan pengguna biasa tidak terbeban dengan penyasaran subsidi ini nanti. Kerajaan juga kekal untuk terus merancang penyasaran subsidi RON95 dengan perincian lanjut bakal diumumkan menjelang akhir tahun ini,” katanya.


































