JEDBURGH: Misteri kehilangan seorang wanita muda dari Texas, Amerika Syarikat (AS) akhirnya terungkai apabila dia ditemui hidup bersama sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai puak purba di kawasan hutan berhampiran bandar Jedburgh, Scotland.
Menurut Utusan Malaysia, wanita itu juga mendakwa dia kini menjadi isteri kedua ketua kumpulan tersebut.
Kaura Taylor, 21, dilaporkan hilang sejak tiga bulan lalu bersama anak perempuannya yang berusia setahun namun, penemuan terbaharu mendedahkan beliau telah menetap di sebuah kawasan hutan di Jedburgh, Scotland, bersama pasangan yang menggelar diri mereka sebagai Raja Atehene dan Permaisuri Nandi.
Taylor, yang kini menggunakan nama baharu iaitu “Asnat, Lady Safi, of Atehene”, mendakwa dirinya tidak pernah hilang, sebaliknya melarikan diri daripada keluarganya yang didakwa mendera serta toksik.
“Ya, saya sangat bahagia dengan Raja dan Permaisuri saya. Saya tidak pernah hilang. Saya melarikan diri daripada keluarga yang menganiaya saya secara seksual sejak kecil,” tulis Taylor menerusi satu hantaran di Facebook, Rabu lalu.
Namun, dakwaan itu disangkal oleh ahli keluarganya yang menegaskan Taylor dibesarkan dalam keadaan sangat terjaga dan dilindungi.
“Ini sangat menyedihkan dan berat untuk kami. Hati kami hancur. Kami terlalu risaukan Kaura, tetapi dia tidak sedar ada yang benar-benar prihatin,” kata ibu saudaranya, Teri Allen, kepada The Independent.
Kumpulan yang menggelar wilayah hutan mereka sebagai Kerajaan Kubala itu diketuai oleh Kofi Offeh, seorang bekas ejen perhubungan awam dan penyanyi opera dari Ghana, yang kini dikenali sebagai Raja Atehene manakala isteri pertamanya, Nandi pernah dikenali sebagai Jean Gasho sebelum menukar identiti baharu.
Permaisuri Nandi turut mendakwa kumpulan mereka adalah “puak Hebrew yang hilang” dan kini kembali menuntut Scotland sebagai tanah asal mereka namun, dakwaan itu bercanggah dengan rekod sejarah.
Menurut Arkib Negara Britain, walaupun terdapat usaha oleh Ratu Elizabeth I pada abad ke-16 untuk mengusir orang kulit hitam dari England, pelaksanaan penuh arahan itu tidak pernah berlaku.
Sementara itu, keluarga Taylor percaya dia mula mengenali kumpulan berkenaan pada tahun lalu melalui seorang rakan sekolah lamanya malah sebelum ke Scotland, Taylor dilapor cuba memujuk teman lelakinya untuk ikut serta, namun lelaki tersebut menolak selepas melihat ritual pelik kumpulan berkenaan.
Kini, keluarga Taylor berharap tindakan pihak berkuasa Scotland dan status visa pelancong enam bulan Taylor yang bakal tamat pada November dapat membawa pulang wanita itu bersama anaknya.


































