Johari Abdul
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat akan mengadakan sesi penerangan khas buat pertama kalinya menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) pada esok dan Rabu ini.
Menurut Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sesi itu akan dibuat oleh Pengerusi JPKP dan diikuti perbahasan empat Ahli Parlimen merangkumi masing-masing dua dari blok kerajaan dan pembangkang.
“Pengerusi JPKP akan diberi ruang untuk membuat penerangan mengenai penyata dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memberikan pendedahan dan liputan luas kepada rakyat berkenaan fungsi serta peranan jawatankuasa pilihan dalam membincangkan isu-isu semasa.
“Penerangan penyata oleh pengerusi JPKP ini dilaksana melalui peraturan mesyuarat 14(1)(a). Setiap penerangan, pengerusi diberi masa tujuh minit, empat orang pembahas yang terdiri daripada dua kerajaan dan dua pembangkang,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Johari juga meminta menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab kepada JPKP berkenaan untuk turut berada di dalam dewan bagi mendengar penerangan daripada pengerusi JPKP.
“Ini bagi menunjukkan kepekaan daripada kementerian terhadap isu-isu yang dibangkitkan ketika penerangan berkenaan.
“Ini respon daripada Yang Berhormat juga, apabila pengerusi memberikan penerangan mengenai satu laporan yang sudah disiapkan oleh jawatankuasa supaya kerajaan dapat respon yang yang dibentangkan,” katanya.
Terdahulu pada sidang akhbar di Parlimen, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut memaklumkan akan mengadakan sesi penerangan esok.
Kata beliau, ia mengenai penyata PAC berkaitan Pembangunan Tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.


































