PETALING JAYA: Seramai 215 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Ops Noda di seluruh negara pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk. M Kumar berkata, operasi dilaksanakan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman bersama kontinjen negeri memberi tumpuan kepada pusat hiburan tanpa lesen.
“Daripada 87 premis yang diperiksa, sebanyak 66 dikesan beroperasi tanpa lesen sah. Hasil pemeriksaan kita menahan pemilik premis, pekerja dan pelanggan.
“Kita turut menahan 215 wanita warga asing terdiri daripada warga Thailand (76), Vietnam (65), Indonesia (35), Myanmar (28), China (5), Kemboja (4), Laos (2) berusia antara 22 hingga 38 tahun,” katanya dalan kenyataan kelmarin.
Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut pelbagai akta termasuk Akta Imigresen 1959/63 dan enakmen hiburan / ordinan hiburan negeri.
Jelasn beliau, tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan didaftarkan.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” ujarnya.


































