Seorang gelandangan meminta bantuan ketika berjalan di sektar Rock Creek Parkway di Washington.
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada golongan gelandangan di ibu negara bakal berdepan hukuman penjara sekiranya enggan mematuhi arahan memindahkan khemah penempatan mereka sebagai sebahagian operasi membanteras jenayah di bandar itu.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap White House, Karoline Leavitt berkata, individu gelandangan akan ditawarkan pilihan untuk berpindah ke pusat perlindungan, menerima rawatan ketagihan atau perkhidmatan kesihatan mental namun jika menolak, mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan.
Tambahnya, pentadbiran Trump turut meneliti langkah memindahkan golongan itu jauh dari kawasan ibu negara.
Sejak Mac lalu, Polis Taman AS merobohkan 70 penempatan gelandangan di taman-taman persekutuan dan dijangka membersihkan baki dua lokasi selewat-lewatnya hujung minggu ini.
Trump sebelum ini menyatakan hasrat menyingkirkan gelandangan dari Washington sebelum mengumumkan langkah luar biasa mengambil alih Jabatan Polis Daerah Columbia dan mengerahkan 800 anggota Pengawal Kebangsaan serta 500 lagi pegawai penguat kuasa Persekutuan.
Beliau menyifatkan gelandangan sebagai antara kumpulan yang kini ‘menguasai’ Washington bersama geng jenayah, kumpulan belia liar dan penagih dadah disamping turut mengaitkan operasi itu dengan pendekatan tegas pentadbirannya terhadap kawalan sempadan AS-Mexico.
Laporan Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUD) kepada Kongres menunjukkan masalah gelandangan di AS mencapai paras tertinggi pada 2024 dengan lebih 771,000 individu direkodkan dalam satu malam.
Washington memiliki 5,616 gelandangan, peningkatan 14.1 peratus berbanding tahun sebelumnya menjadikannya bandar ke-16 tertinggi dalam senarai 20 bandar AS dengan populasi gelandangan terbesar.
Namun, dari segi kadar nisbah, ibu negara itu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 83 gelandangan bagi setiap 10,000 penduduk.
Sementara itu, operasi besar-besaran melibatkan 850 anggota polis dan agensi persekutuan pada Isnin malam menyaksikan 23 individu ditahan, namun tiada gelandangan yang terbabit secara langsung.
Trump menggunakan peruntukan Akta Autonomi Tempatan yang membolehkan Presiden mengambil alih pasukan polis daerah selama 30 hari ketika kecemasan keselamatan awam, sekali gus memintas kuasa Datuk Bandar dan Majlis Bandaraya yang dipilih rakyat.


































