PETALING JAYA: Jumlah panggilan yang ditandakan sebagai penipuan menurun sebanyak 7.6 peratus dari Januari hingga April 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024, berdasarkan data diperolehi daripada Whoscall.
Menurut Utusan Malaysia, aplikasi anti-penipuan itu berkata, ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran orang ramai dan usaha pencegahan secara bersama mula membuahkan hasil.
Katanya, perkembangan positif ini menjadi dorongan tambahan buat Whoscall dan rakan-rakan kerjasamanya untuk terus mempergiat usaha serta mengekalkan momentum yang sedia ada.
“Melihat perkembangan positif awal dalam usaha membanteras panggilan scam di Malaysia, Whoscall kembali dengan inisiatif nasional Scam Free Malaysia 2025 bersama rakan kerjasama berterusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tahun ini, kempen ini diperkukuh dengan penyertaan J&T Express Malaysia sebagai rakan sokongan.
“Menerusi kerjasama ini, Whoscall bersama PDRM dan J&T Express menyasarkan untuk mengagihkan satu juta langganan Whoscall Premium percuma untuk tempoh setahun kepada rakyat Malaysia, bagi memperkukuh keselamatan digital dan meningkatkan kesedaran terhadap scam di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
Whoscall yang disokong oleh PDRM menawarkan penyelesaian anti-scam 360 darjah yang sentiasa berkembang selari dengan kemajuan teknologi bagi mendahului taktik penjenayah siber.
Selain mengenal pasti panggilan tidak dikenali dan menyekat ‘spam’, aplikasi ini turut menyediakan pelbagai alat canggih yang direka khusus untuk menangani ancaman digital hari ini.
Ketua Pemasaran Negara Gogolook di Malaysia, Woon Chin Yong berkata, kempen ini bukan sekadar ganjaran, tetapi ia adalah satu gerakan.
Katanya, penjenayah siber masa kini dilihat semakin licik, maka pertahanan juga perlu dipertingkatkan.
“Whoscall membekalkan rakyat Malaysia dengan alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan penipuan melangkaui kemampuan daya manusia.
“Daripada Content Checker ke Auto-Web Checker dan hinggalah ke amaran ‘scam’ secara langsung, pengguna boleh menyemak semuanya dengan hanya satu klik.
“Fungsi terbaharu Whoscall, AI-Powered Content Checker, membolehkan pengguna menyemak sama ada mereka sedang berhadapan dengan penipuan hanya menerusi tangkap layar,” ujarnya.
Tambahnya, selain mengenal pasti penipuan tersebut, fungsi ini turut memberikan penjelasan terperinci mengapa ia dianggap ‘scam’ serta pautan kepada artikel berita atau laporan berkaitan yang boleh membantu pengguna menjelaskan situasi itu kepada orang lain.

































