Hajiji menyempurnakan peletakan batu asas pos keselamatan di perairan Pulau Ligitan sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), hari ini.
SEMPORNA: Perancangan menyeluruh termasuk penambahan fasiliti sedia ada perlu dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan Semporna sebagai daerah pelancongan utama, di samping mengembangkan potensinya dalam sektor Ekonomi Biru.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Semporna mempunyai keistimewaan tersendiri dengan destinasi pelancongan bertaraf dunia seperti Pulau Sipadan, selain beberapa pulau lain yang terus menarik kedatangan pelancong.
Menurutnya, daerah itu juga memiliki potensi besar dalam sektor perikanan dan aktiviti marin yang boleh diteroka menerusi pembangunan ekonomi biru.
“Semporna bukan sahaja terkenal dengan pelancongan, tetapi sumber perikanan dan marinnya juga cukup besar potensinya.
“Pegawai Daerah dalam taklimat turut membentangkan perancangan baik untuk masa depan Semporna, termasuk usaha menjaga kebersihan serta meningkatkan fasiliti seperti jeti di pulau-pulau dan kemudahan lain,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna sempena lawatannya ke Pulau Mataking, di sini, hari ini.
Lawatan itu diadakan bersempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) yang bermula di Sandakan pada Selasa, diikuti Lahad Datu kelmarin dan berakhir di Semporna, hari ini.
Hajiji berkata, semua aspek pembangunan akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan Semporna muncul sebagai daerah pelancongan yang lebih maju dan berdaya saing.
“Semporna mempunyai Pulau Sipadan dan beberapa pulau lain yang cukup dikenali di peringkat antarabangsa.
“Jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di sini boleh menjadi khazanah yang amat bernilai bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited meningkatkan kemudahan serta keperluan pembangunan di Semporna sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan, termasuk di Lahad Datu dan Sandakan.
Mengenai Ekonomi Biru, Hajiji berkata, pembangunan sektor itu digariskan dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha memperkukuh hasil negeri.
“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam tempoh lima tahun akan datang dan diharap ia mampu menjadi aktiviti ekonomi yang meningkatkan pendapatan negeri serta rakyat setempat,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, lawatan ke gugusan pulau di sekitar Semporna, selain Sandakan dan Lahad Datu, bertujuan meninjau sendiri tahap keselamatan terutama di pulau-pulau di pantai timur Sabah.
Katanya, beliau juga mahu melihat keadaan pos kawalan keselamatan selain mendengar taklimat pembangunan daerah di setiap lokasi yang dilawati.
Pada program di Semporna, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan semasa di pulau itu sebelum menyempurnakan peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.
































