Dr. Joachim (kiri) menerima cenderamata daripada rombongan CTS Horizon.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam membantu mempercepat pembangunan digital di Sabah.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan fokus Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat menikmati akses internet dan teknologi komunikasi yang lebih baik serta menyeluruh.
Katanya, pembangunan infrastruktur digital dan keterhubungan amat penting dalam usaha menjadikan Sabah sebuah negeri yang moden, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat pengurusan CTS Horizon Sdn Bhd di pejabatnya, di sini, hari ini.
Rombongan syarikat itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zurinah Hanafiah.
Dalam kunjungan itu, CTS Horizon membentangkan latar belakang syarikat termasuk perkhidmatan yang ditawarkan, kekuatan rangkaian serta keupayaan teknikal syarikat.
Turut diperkenalkan ialah visi baharu syarikat dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur digital di Sabah.
Selain itu, syarikat berkenaan turut berkongsi perkembangan beberapa projek utama yang sedang dan telah dilaksanakan, termasuk peranannya sebagai rakan fiber backhaul bagi projek 5G U Mobile.
CTS Horizon juga terlibat dalam inisiatif FTTx, JENDELA dan POP2 yang bertujuan memperluas capaian internet serta meningkatkan akses digital terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Pertemuan itu turut menjadi platform membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkasa ekosistem digital negeri, termasuk usaha memperluas liputan rangkaian komunikasi dan meningkatkan kemudahan infrastruktur telekomunikasi.
Turut hadir Head of Business Development, Aines Ajik; Head of Planning & Design (Network), Sheridan Hans Peter; dan Head of Human Resources, Natasha Assan.
































