KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai membidas Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan menyifatkan kenyataan terbaharunya sebagai angkuh dan tidak berpijak pada realiti politik Sabah.
“Bung adalah orang terakhir yang patut bercakap soal kesetiaan atau keikhlasan. Beliau pernah cuba menjatuhkan kerajaan yang beliau sendiri berada di dalamnya, semata-mata kerana kepentingan peribadi. Itu sudah cukup menggambarkan segalanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menolak dakwaan Bung bahawa GRS mengkhianati Barisan Nasional (BN), dengan menyifatkannya sebagai cubaan memutarbelit fakta dan mengalihkan perhatian daripada tindak-tanduknya sendiri.
“Bung yang berpakat dengan Warisan dan PKDM pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Bukan beliau yang dikhianati, sebaliknya beliaulah yang mengkhianat. Walaupun berada dalam Kabinet Negeri, beliau langsung tidak menghormati rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.”

Joniston Bangkuai
Joniston menegaskan bahawa GRS tidak pernah bergantung kepada Umno dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya negeri akan datang secara solo.
Justeru, Bung diminta hentikan sikap angkuh seolah-olah GRS sangat terdesak untuk bekerjasama dengan Umno-BN.
Beliau turut menarik perhatian bahawa ketika krisis politik itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno enggan menyokong langkah Bung, sebaliknya menyokong Hajiji bersama-sama dengan PH.
“Kalau ada sesiapa yang perlu muhasabah, itu adalah Bung. Kenapa rakan-rakan kamu sendiri tinggalkan ‘Langkah Kinabalu’? Kenapa PH sokong Hajiji dan bukan kamu? Jawapannya jelas – kepercayaan itu bukan pada kamu,” katanya.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan PBS, turut mengingatkan bahawa partinya tidak akan lupa penghinaan Bung yang pernah melabel PBS sebagai ‘melukut di tepi gantang’.
“Kamu langsung tidak menghormati PBS atau sekutu-sekutu kamu, dan kini kamu mengharapkan kerjasama? Jangan terkejut jika rakyat Sabah terus menolak Umno sebagaimana yang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung.
“Sabah bukanlah talian hayat politik kamu. Jangan jadikan negeri ini pelan sandaran kamu,” tegasnya, sambil menyatakan bahawa GRS kini fokus kepada perkara yang lebih penting – perpaduan, kestabilan dan menyampaikan khidmat kepada rakyat.


































