Masidi (lima dari kanan) menerima cenderamata daripada Claudius.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menyarankan Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) agar terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang idea, pandangan serta sokongan terhadap usaha pembangunan negeri.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, penglibatan badan itu amat penting dalam membantu Kerajaan Negeri memperkukuhkan pelaksanaan program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menggalakkan MDNS memperluaskan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan selain memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaan program sosial, ekonomi dan pendidikan.
“MDNS juga perlu lebih banyak terlibat dalam program mendekati masyarakat supaya dapat terus menyantuni rakyat serta memahami keperluan komuniti di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi MDNS yang diketuai oleh Datuk Claudius Roman bersama rombongan di pejabatnya, di sini.
Masidi berkata, kunjungan tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim malah memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan MDNS dalam pelbagai aspek pembangunan.
Katanya, kerjasama erat itu penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada masyarakat di Sabah.
































