SANDAKAN: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) dan anak syarikat milik penuhnya, Asian Supply Base Sdn. Bhd. (ASB), menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia di sini baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi SEC, Datuk Hassan A. Gani Pg. Amir diiringi oleh Pengerusi ASB yang juga Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman.
Penyerahan dilakukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dalam satu majlis yang berlangsung di Sandakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor turut menyaksikan penyerahan itu. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Firdaus Akbar Khan, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, serta Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson.
Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, kumpulan syarikat SEC memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi negeri, malah turut memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, dan berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
































