Jualan kereta dijangka meningkat tahun ini.
PETALING JAYA: Jumlah jualan kenderaan di Malaysia berkemungkinan terus mengejutkan pasaran dengan jumlah keseluruhan industri atau pendaftaran kenderaan baharu dijangka mencecah 800,000 unit tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kenanga Investment Bank menaikkan penilaian sektor automotif kepada “overweight” daripada “neutral”.
Menurut kenyataan, ini dibandingkan dengan ramalan 765,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang mewakili kebanyakan jenama tempatan dan asing.
“Lonjakan ini didorong oleh permintaan yang berterusan dalam segmen mampu milik, pelancaran baharu yang menarik, impak e-invois yang lebih lembut daripada jangkaan serta trend menurunkan kelas oleh pembeli pasaran pertengahan.
“Jumlah kenderaan yang dijual dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini telah mencecah 533,301 unit, meningkat 5.9 peratus daripada 503,783 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut data terbaru MAA,” katanya.
Firma itu berkata, pengguna perlu mempertimbangkan pembelian kereta dan barangan berharga tinggi lain menjelang rasionalisasi subsidi yang akan datang, berbanding dengan bantuan tunai dan bentuk bantuan lain daripada kerajaan untuk mengekang peningkatan kos sara hidup.
“Kerajaan telah mengumumkan penyelarasan semula subsidi diesel pada bulan Jun, manakala rasionalisasi untuk RON95, varian petrol yang paling banyak digunakan, dijangka menyusul.
“Buat masa ini, penglihatan pendapatan industri masih kukuh merujuk kepada tempahan berjumlah 160,000 unit pada akhir Ogos.
“Lebih separuh daripada baki tempahan terdiri daripada model baharu, menunjukkan daya tarikan model-model baharu, dan trend ini dijangka berterusan sepanjang baki bulan-bulan 2024 dengan barisan pelancaran baharu yang kukuh, katanya.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kemungkinan sasaran jualan kenderaan itu adalah sangat berpotensi.
“Ini berdasarkan data yang sedia, yang mana jumlah volum industri (TIV) telah mencecah 533,301 unit bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Sekiranya angka ini ditukarkan kepada bentuk tahunan, ia boleh mencecah 800,000 pada tahun ini jika angka jualan bulanan bagi tempoh September hingga Disember dapat dikekalkan sekitar 67,000 unit.
“Suasana industri automotif agak kondusif buat masa ini,” katanya.
Jelas beliau, pasaran buruh telah mencecah guna tenaga penuh, sekali gus menunjukkan sudah ramai yang bekerja dan mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan di institusi perbankan bagi membeli kenderaan.
“Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, purata pertumbuhan pembiayaan kenderaan peribadi adalah 10.1 peratus berbanding 8.5 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Selain itu, banyak model baru yang telah diperkenalkan tahun ini yang juga menarik minat rakyat Malaysia untuk bertukar kenderaan. Justeru itu, jangkaan 800,000 bukanlah sesuatu yang agak jauh dicapai sekiranya sedia ada dapat dikekalkan,” katanya.


































