Prabowo Subianto
JAKARTA: Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto dijangka mengumumkan barisan menteri dalam Kabinetnya pada 20 Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu didedahkan Ketua Staf Presiden, Moeldoko dan menjelaskan langkah tersebut untuk memastikan prestasi kerajaan tidak mengalami kelompongan.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mengetahui lanjut mengenai senarai menteri yang akan dilantik, termasuk khabar angin kononnya calon anggota Kabinet akan dikumpulan di Magelang.
Sebelum ini, Prabowo dilaporkan akan mengumumkan komposisi Kabinetnya sejurus selepas pelantikan sebagai Presiden pada 20 Oktober depan.
Pengerusi Harian Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Sufmi Dasco Ahmad mengesahkan rancangan Prabowo mengumumkan Kabinetnya selepas pelantikan.
Prabowo dikatakan akan membentuk sebuah Kabinet yang didominasi oleh golongan profesional, selain anggota parti politik.
“Golongan profesional dijangka mendominasi Kabinet Prabowo. Lebih ramai golongan profesional berbanding mereka yang daripada parti politik,” katanya.
Berdasarkan jadual pelaksanaan Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 yang ditetapkan dalam PKPU Nombor 3 Tahun 2022, pelantikan rasmi Presiden dan Wakil Presiden terpilih untuk penggal 2024-2029 akan dilaksanakan pada 20 Oktober ini.


































