Anthony Loke
PUTRAJAYA: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 dan B2 yang aktif lebih 10 tahun boleh memohon mendapatkan LMM Kelas B bermula 1 Oktober depan.
Difahamkan pemegang lesen B1 dan B2 di negara ini dianggarkan berjumlah 10 juta orang.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemegang LMM Kelas B1 dan B2 yang berminat boleh mendapatkan LMM Kelas B dengan kos yuran hanya RM160 berbanding RM900 sebelum ini.
Menurutnya, mereka yang berminat perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kenderaan motosikal berkuasa 500 cc (sentimeter padu) ke atas selama dua jam di institut memandu.
“Syarat lain ditetapkan adalah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.
“Malah, pemohon juga perlu melakukan pengesahan sihat tubuh badan, fizikal, minda secara deklarasi kendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, semalam.
Katanya, syarat ditetapkan itu bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
Anthony berkata, pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar akan dikendalikan pegawai latihan berkelayakan (QTQ) di institut memandu.
Jelasnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan itu termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelarasan dengan institut memandu.
“Program khas peralihan ini tidak mempunyai tempoh masa tamat dan akan diteruskan sehingga satu tempoh yang akan ditentu dan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan program khas peralihan itu, namun ia bukan dilaksanakan secara automatik sebaliknya perlu melepasi syarat-syarat ditetapkan.
Pada masa sama, Anthony memberitahu, pihaknya juga memutuskan lesen kelas B1 juga akan digabungkan dengan kelas B mengambil kira permintaan mendapatkannya (B1) yang terlalu rendah pada setiap tahun.
“Mulai 1 Oktober depan, tiada lagi program mendapatkan lesen kelas B1 di institut memandu akan dibuka kepada orang ramai.
“Dengan mendapatkan lesen kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499 cc ke bawah sahaja bagi kelas B1.
“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas disebutkan tadi bagi mendapatkan kelas B,” jelasnya.
Sebelum ini, pemegang LMM Kelas B2 yang mahu mendapatkan LMM Kelas B perlu membayar kos yuran sebanyak RM900 selain mengikuti kelas teori dan latihan litar selama 11.5 jam.


































