Seorang wanita meninggal dunia dalam kejadian treler melanggar sebuah rumah di Kampung Ketapang Hilir di Pekan, Pahang.
PEKAN: Seorang wanita meninggal dunia setelah kediamannya dilanggar sebuah treler dalam kejadian kemalangan di Kampung Ketapang Hilir di sini awal pagi hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, treler dengan muatan barang pelbagai itu terbabas dan melanggar sebuah rumah separuh kekal.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 4.46 pagi. dan seramai 13 anggota dan tiga pegawai serta dua jentera FRT dan sebuah EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian komander operasi mendapati treler dinaiki dua lelaki dewasa manakala rumah terbabit dihuni empat mangsa, seorang warga emas wanita, seorang wanita dan dua lelaki dewasa.
“Terdapat seorang wanita masih belum ditemukan dalam runtuhan rumah manakala seorang warga emas dan dua lelaki dewasa yang berada dalam rumah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah Isma, wanita terbabit bagaimanapun ditemukan tidak lama kemudian di bawah bahagian hadapan lori dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan air lifting bag dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


































