Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Langkah kerajaan menyasarkan penurunan jumlah hutang dan defisit fiskal secara berperingkat bertujuan untuk tidak mahu menjejaskan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia,Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya kedua-dua perkara itu dilaksanakan secara mengejut dan drastik, ia akan memberi impak kepada projek sedang dijalankan termasuk usaha membantu rakyat dan pembangunan.
Beliau justeru berkata, pentadbirannya mengunjurkan sasaran defisit fiskal 4.3 peratus pada tahun ini setelah kejayaan menurunkan kepada lima peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya iaitu 5.6 peratus.
“Memang komitmen kita untuk mengurangkan hutang dan ini dilakukan. Umpamanya pada 2021 dan 2022 kita berhutang dari luar dan dalam sebanyak RM100 bilion.
“Kita ambil alih 2023, kita beritahu keadaan tidak boleh pertahankan hutang berlonggok dan bertambah. Maka kita turunkan, maknanya turunkan hutang ke RM93 bilion daripada RM100 bilion pada sebelumnya.
“Pada 2024 adalah RM84 bilon, maknanya berkurangan daripada rm100 bilion,” katanya dalam hantaran dalam Facebook, hari ini.
Beliau merujuk dakwaan tidak berasas kononnya kerajaan tidak mendedahkan fakta sebenar ekonomi dan memungkiri janji terkait usaha menurunkan hutang negara.
Menurut Anwar, kerajaan tidak membatalkan semua hutang dan sebaliknya ia dilakukan secara berperingkat kerana pihaknya mempunyai pelbagai usaha dan perancangan untuk membantu rakyat.
“Kita perlu bantu rakyat, sekolah baharu, universiti, pembangunan termasuk tanggungan kita membayar hutang-hutang lama, tanggungan hutang itu tinggi.
“Sekarang 64 peratus (jumlah hutang kerajaan) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ini jumlah melebihi daripada apa kita rasakan membantu dan menambat keyakinan pelabur asing dan domestik,” katanya.
Oleh demikian, katanya, kerajaan menyasarkan untuk menurunkan secara berperingkat sekurang-kurangnya 60 peratus.
Beliau menjelaskan, dua aspek utama pengurusan fiskal negara sedang giat diuruskan oleh kerajaan yang menghasilkan impak positif iaitu langkah mengurangkan hutang negara dan usaha menurunkan defisit fiskal.
“Tidak benar mengatakan dasar kewangan fiskal nampak mengekang dan tidak memenuhi apa dijanjikan. Realitinya, data dan angka tidak membohong,” katanya.


































