PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditemui meninggal dunia berhampiran lobi sebuah kondominium di daerah ini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung penemuan mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman yang terletak di tingkat 26 bangunan kondominium berkenaan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Orang ramai juga diminta menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga dan waris mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis di talian 013-838 5335 atau menghubungi IPD Penampang di talian 088-712222.






























