Dr. Janathan Kandok
KOTA MARUDU: Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM), Dato’ Dr. Janathan Kandok menggesa agar landskap politik dan ekonomi di Kota Marudu beralih kepada pendekatan yang lebih strategik dengan memberi fokus utama kepada peningkatan taraf hidup rakyat selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dr. Janathan berkata, aktiviti semasa perlu menterjemahkan matlamat SMJ kepada impak ekonomi yang dirasai oleh rakyat. Beliau menegaskan bahawa fokus utama PERKOM adalah untuk membantu kerajaan negeri menyebarluaskan kefahaman mengenai Hala Tuju SMJ agar rakyat lebih bersedia melibatkan diri dalam inisiatif kerajaan.
“Adalah menjadi keutamaan kita untuk memastikan rakyat memahami sepenuhnya matlamat SMJ. Apabila rakyat faham, mereka akan lebih bersedia untuk melibatkan diri secara aktif. Ini bukan sahaja membantu Kerajaan, malah memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk bekerja sebagai satu pasukan, meletakkan agenda rakyat di hadapan, dan memastikan maklumat mengenai bantuan serta peluang di bawah SMJ sampai ke setiap pelosok Kota Marudu.
Dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negeri dan memperkasa sektor pelancongan serta industri desa, Dr. Janathan menekankan bahawa kekayaan kebudayaan etnik Kota Marudu perlu diangkat sebagai sumber utama kreativiti ekonomi.
Menurut beliau, keunikan tradisi, kraf tangan, dan seni budaya etnik mempunyai potensi komersial yang amat besar sekiranya diuruskan dengan pendekatan kreatif dan inovatif.
“Kebudayaan kita bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi ia merupakan aset ekonomi bernilai tinggi yang mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup rakyat,” jelas beliau.
Sehubungan itu, PERKOM komited untuk membantu kerajaan dalam memastikan kebudayaan etnik diketengahkan ke peringkat yang lebih meluas melalui latihan kemahiran bagi pengusaha tempatan, pemasaran digital untuk produk budaya dan pengukuhan rantaian nilai produk pelancongan dan usahawan tempatan.
Dr. Janathan menyeru para belia dan pengusaha tempatan di Kota Marudu untuk mengambil peluang ini bagi meneroka bidang ekonomi kreatif. Beliau yakin bahawa dengan sokongan dasar yang inklusif di bawah SMJ serta keterlibatan aktif rakyat, kepercayaan kepada pemimpin akan meningkat dan kebudayaan etnik Kota Marudu akan menjadi jenama ekonomi yang membanggakan bagi negeri Sabah.






























