KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa beberapa laluan dan tempat letak kereta di Jalan Gaya akan ditutup sementara esok bagi memberi laluan kepada penganjuran program Api-Api Cleanup 2026.
Menurut notis pemakluman yang dikeluarkan DBKK, penutupan berkenaan akan dilaksanakan pada Khamis, 11 Jun 2026, melibatkan Jalan Gaya dan kawasan tempat letak kereta di sekitarnya.
DBKK berkata, Jalan Gaya bermula dari pintu gerbang hingga ke kawasan air pancut akan ditutup secara berkala bermula jam 5 petang hingga 11.59 malam.
Selain itu, tempat letak kereta di Jalan Gaya turut akan ditutup bermula jam 8 malam hingga 11.59 malam pada hari yang sama.
Menurut DBKK, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penganjuran Api-Api Cleanup 2026 serta keselamatan peserta dan orang awam yang terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
DBKK turut menghargai kerjasama pengguna jalan raya serta orang awam dalam memastikan kelancaran acara berkenaan.
































