Jamawi memantau buah avocado dan limau bali (pamelo) yang dipamerkan dalam seminar itu.
KENINGAU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menyasarkan keluasan penanaman avokado di negeri ini meningkat kepada 600 hektar menjelang tahun 2035 bagi memperkukuh pembangunan industri tanaman bernilai tinggi itu.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, ketika ini keluasan tanaman avokado di Sabah adalah sebanyak 318 hektar, manakala daerah Keningau merekodkan keluasan 132 hektar yang terdiri daripada pelbagai varieti campuran.
“Kita mensasarkan keluasan penanaman avokado sebanyak 600 hektar menjelang tahun 2035,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Seminar Jaringan Perkongsian Penanaman Avokado Taiwan-Malaysia di Dewan Persidangan Lembah Durian, Keningau, pada Selasa (9 Jun).
Bagi mencapai sasaran tersebut, beliau berkata, kementeriannya akan meluluskan sebanyak 50,000 bahan tanaman untuk disubsidi kepada para penanam avokado di seluruh Sabah.
Menurutnya, usaha memperluaskan tanaman avokado perlu disokong dengan pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan pengukuhan rangkaian kerjasama dengan negara yang mempunyai pengalaman luas dalam industri berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran Program Seminar Jaringan Perkongsian Penanaman Avokado Taiwan-Malaysia sebagai platform penting untuk bertukar pandangan, idea dan pengetahuan berkaitan teknik penanaman serta pengurusan pascatuai buah avokado.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Softwoods Hybrid Fertilizer Sdn. Bhd. yang menaja program tersebut serta lebih 60 peserta yang hadir menjayakannya.
Antara yang hadir ialah delegasi daripada Persatuan Avokado China Taiwan, pegawai Jabatan Pertanian, wakil TF Net, para penyelidik serta ahli Persatuan Penanam Durian dan Buah-buahan Tropika Malaysia (MASDA).

Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yang turut serta dalam program itu.
Jamawi berkata, antara varieti yang kini ditanam di Sabah ialah Avokado QAV1 yang lebih dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun bagi membolehkan pengusaha tempatan memanfaatkan pengalaman dan teknologi yang dibangunkan oleh penanam avokado di Taiwan.
Katanya, perkongsian kepakaran tersebut mampu mempercepatkan perkembangan industri avokado Sabah sekali gus meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tempatan.
Menurut statistik, Taiwan mempunyai keluasan tanaman avokado sebanyak 2,376 hektar dengan pengeluaran mencapai 22,599 tan metrik pada tahun 2024.
Sementara itu, Pengerusi MASDA, Duani Evans, merakamkan penghargaan kepada Jamawi atas sokongan berterusan beliau terhadap pembangunan industri buah-buahan tropika serta kesudian menghadiri program berkenaan.
Dalam acara berasingan, Jamawi turut menghadiri mesyuarat berkaitan cadangan pembinaan dan naik taraf Jalan Pangi-Tenom di Bilik Mesyuarat Stesen Janakuasa Tenom Pangi.
Beliau juga mengadakan ziarah ke rumah sebuah keluarga yang ditimpa musibah bagi menyampaikan penghormatan terakhir kepada ahli keluarga yang meninggal dunia.






























