Ramli Mohamed Yoosuf
KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati seorang kerani sebuah bank di Kuala Kuala Kangsar, Perak sempat memindahkan wang yang disonglap berjumlah lebih RM2.4 juta ke 11 akaun berlainan termasuk akaun saudara maranya.
Suspek bagaimanapun ditemukan meninggal dunia pada 5 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang terbabit dikeluarkan daripada tiga akaun simpanan tetap melibatkan 108 transaksi sejak 14 Februari 2023 hingga 24 Jun lalu.
Kata beliau, siasatan dijalankan polis selepas mendapati kebanyakan wang tersebut telah digunakan dengan 108 transaksi yang mencurigakan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
“Wang tersebut telah dipindahkan ke akaun milik saudara mara, kenalannya serta syarikat.
“Mangsa yang merupakan pendeposit berusia 69 tahun telah menyedari bahawa wangnya telah dikeluarkan pada 5 Julai lepas seterusnya melaporkan perkara itu kepada pihak bank,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ramli, siasatan berhubung kes itu tetap diteruskan walaupun suspek telah mati.
“Hasil siasatan perlu disudahkan, jadi kita masih teruskan siasatan ini termasuk mereka (11 akaun) yang menerima wang tersebut,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan terdapat satu lagi kes kehilangan wang daripada akaun bank melibatkan nilai kerugian melebihi RM2 juta dikesan berlaku pada 9 Julai lalu.
Kegiatan kerani itu hanya terbongkar apabila dua pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap pada 27 Jun lepas.
Selepas semakan dibuat, didapati sebahagian daripada sijil akaun simpanan tetap milik mereka sudah ditutup dan pelanggan-pelanggan berkenaan menafikan pernah membuat penutupan atau mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap milik mereka.


































