Ariana (tengah) bersama Nurul Azreena Mohamad Fazil (kiri) dan Syaqiera Mashayikh akan beraksi dalam acara recurve di Sukan Olimpik Paris 2024.
SEPANG: Atlet memanah recurve negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi optimis kem memanah negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024, minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, beraksi dengan status bukan pilihan’, pemanah berusia 19 tahun itu berkata, beliau hanya akan bersaing dengan diri sendiri dalam usaha mempertingkatkan bidikan bagi memburu podium di temasya sukan terbesar itu nanti.
“Pendapat saya, kami hanya akan lawan dengan diri kami sendiri. Lawan diri kami sendiri bererti kami kena kawal diri dari segi emosi bagi memperbaiki bidikan dan skor kami dalam saingan di sana (Paris).
“Tidak mustahil untuk membawa pulang sesuatu dari Paris. Kami mungkin boleh bawa pulang menerusi acara berpasukan ataupun acara individu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Paris.
Selain mahu melakar sejarah meraih pingat di Paris, Ariana turut meletakkan sasaran untuk memperbaharui catatan peribadinya di temasya berkenaan.
“Berkampung di Korea Selatan sebelum ini telah membantu sedikit sebanyak latihan kami dan belajar bagaimana atlet lain berlatih. Apapun kami akan guna pendekatan yang sama ketika di Paris,” katanya.
Kem memanah negara akan membuka tirai saingannya menerusi acara individu pada 25 Julai sehari sebelum majlis pembukaan dan meneruskan bagi acara berpasukan tiga hari selepas itu.


































